KUDAT - Seorang kanak-kanak perempuan ditemukan maut manakala dua lagi rakannya hampir lemas ketika mandi di Sungai Bengkoka, Kampung Pondoi, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, dua mangsa yang hampir lemas berjaya diselamatkan sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Nurfaizah Azidah Johari, 11, manakala dua rakannya, masing-masing berusia empat dan 14 tahun, dilaporkan hampir lemas.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.17 petang.
Katanya, seramai enam anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 10 kilometer dari BBP Pitas.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menggunakan bot Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi kaedah pencarian di permukaan atas air.
"Pencarian dilakukan di Sungai Bengkoka dalam radius satu kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) bagaimanapun gagal menemui mangsa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, mangsa ditemukan oleh penduduk kampung pada jam 7.36 pagi, Rabu, kira-kira satu kilometer dari PKB.
"Pasukan bomba membawa mangsa keluar menggunakan pengusung sebelum menyerahkannya kepada pihak polis.
"Mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh pihak polis dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya.
Beliau dalam pada berkata, terdapat dua lagi individu lain masing-masing berusia 18 dan 14 tahun dilaporkan selamat dalam kejadian itu.
Operasi yang turut disertai empat anggota polis ditamatkan pada jam 8.25 pagi selepas dipastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.