Gajah pun tahu jalan pulang, mengapa Rohingya tidak?

Iklan
Haiwan sentiasa tunduk pada hukum alam dan aturan persekitarannya. - Gambar hiasan

KISAH mamalia gergasi sentiasa meruntun jiwa. Selain gajah betina Mek Jeram yang sebelum ini tular kerana tersesat ke penempatan penduduk di sempadan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akibat pencerobohan habitat, kini perhatian seluruh negara terarah kepada Sulong.

Sulong, si gajah jantan itu, sanggup berjalan beratus-ratus kilometer dari Gerik, Perak menuju ke habitat asalnya di Gua Musang, Kelantan walaupun dalam keadaan kakinya tercedera.

Iklan
Iklan

Kisah Mek Jeram dan kecekalan Sulong membuktikan satu perkara, iaitu haiwan sentiasa tunduk pada hukum alam dan aturan persekitarannya.

Seberapa sukar sekalipun operasi pemindahan haiwan seberat lebih daripada tiga tan ini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas untuk menguruskan haiwan liar yang tersesat ke kawasan penempatan manusia.

Iklan

Namun, bagaimana pula dengan 'Awang' dan 'Mek' Rohingya yang kian ramai menetap di bumi bertuah ini?

Di sinilah letaknya satira pahit realiti hari ini. Memujuk gajah seperti Mek Jeram atau menjejaki kelibat Sulong untuk dipindahkan ternyata jauh lebih mudah berbanding menghantar pulang etnik Rohingya ke negara asal mereka di Myanmar.

Iklan

Isu lambakan pelarian Rohingya khususnya di Terengganu, bukan lagi sekadar bualan kedai kopi. Ia telah menjadi kebimbangan awam sehingga mencetuskan penentangan akar umbi secara terbuka.

Terbaharu, manifestasi keresahan ini dizahirkan menerusi Perhimpunan Aman 'Kemaman Bebas PATI' di Padang Astaka Chukai, Kemaman pada 28 Ogos lalu.

Perhimpunan yang menyaksikan peserta berpakaian hitam itu turut memperlihatkan penyatuan merentas fahaman politik apabila jemputan terdiri daripada wakil pelbagai parti politik yang tampil di pentas sama bersama beberapa aktivis lain.

Persoalannya, mengapa isu Rohingya terus berlarutan dan begitu sukar untuk diselesaikan?

Berbeza dengan gajah yang mengikut laluan semula jadi, isu Rohingya terbelenggu dalam cengkaman geopolitik dan peraturan antarabangsa.

Kerajaan junta tentera Myanmar yang tidak mengiktiraf kerakyatan Rohingya menjadikan proses penghantaran pulang amat rumit. Mereka menjadi kelompok tanpa kerakyatan yang akhirnya 'tersangkut' di Malaysia tanpa titik noktah.

Impaknya, daerah seperti Kemaman dan Kuala Terengganu kini mula menanggung persaingan ekonomi, monopoli perniagaan kecil, serta cabaran ketenteraman sosial.

Walaupun begitu, dalam suasana yang dibayangi emosi, masyarakat tempatan perlu diingatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri.

Sebagaimana Mek Jeram dan Sulong yang memasuki kawasan kampung tidak boleh ditangani dengan amarah, sebaliknya memerlukan kepakaran pihak berkuasa, isu PATI juga tidak wajar diselesaikan menerusi tindakan sendiri.

Sebarang provokasi, kekerasan atau tindakan menyalahi undang-undang hanya mencemarkan prinsip kedaulatan undang-undang.

Walaupun situasi Rohingya di Terengganu masih terkawal, mesej berunsur provokasi dan kebencian terhadap kumpulan etnik itu dilihat terus bertebaran di pelbagai platform media sosial.

Sebagai orang awam, tindakan sendiri tidak akan menyelesaikan masalah kerana sebarang salah laku perlu dilaporkan terus kepada pihak polis dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Bagaimanapun, manifestasi ketidakpuasan hati terhadap golongan itu terus diterjemahkan susulan kes rogol membabitkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) di Kemaman dengan suspek dilaporkan daripada etnik Rohingya.

Perhimpunan yang diadakan itu merupakan semboyan aman daripada rakyat bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap lambakan etnik berkenaan serta isu 'kadar kelahiran tinggi' dalam kalangan mereka.

Memindahkan Sulong dan Mek Jeram memerlukan kepakaran teknikal, tetapi mengatasi isu PATI memerlukan keberanian yang tegas.

Biarlah suara disuarakan mengikut saluran undang-undang dan tindakan sewajarnya kekal di tangan pihak berkuasa.

* Norhaspida Yatim ialah wartawan Sinar Harian Terengganu