Polis siasat insiden lelaki cetus provokasi semasa sambutan Hari Kebangsaan

Iklan
Tangkap layar rakaman video tular seorang lelaki dipercayai mencetuskan provokasi semasa sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya pada Isnin.

PUTRAJAYA – Polis sedang menyiasat insiden membabitkan seorang lelaki yang disyaki mencetuskan kekecohan dan melakukan provokasi semasa sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima empat laporan polis berkaitan kejadian tersebut.

Iklan
Iklan

“Pihak polis turut mengesan satu video tular berdurasi dua minit 18 saat yang memaparkan seorang lelaki tempatan dipercayai melakukan provokasi.

“Lelaki terbabit dipercayai merempuh dan menolak orang awam yang sedang menunggu pembukaan pagar masuk ke kawasan tempat duduk sehingga berlaku tolak-menolak dan beberapa individu terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika orang ramai berkumpul untuk menunggu pintu masuk ke kawasan tempat duduk awam dibuka.

Aidi Sham berkata, pihak polis kini sedang mengesan individu terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

Iklan

“Lelaki berkenaan juga diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.