Atlet UPSI, Danish, Fatin dinobat raja dan ratu pecut SUKIPT

Iklan
Danish Iftikhar (dua dari kiri) mencatat masa 10.36s untuk mengungguli acara riben biru SUKIPT di Kuala Lumpur. Foto : Bernama.

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengungguli acara 100 meter (m) Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 apabila Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Fatin Ilyana Mat Nayan dinobatkan sebagai raja serta ratu pecut temasya.

Danish Iftikhar meneruskan kecemerlangan selepas memecahkan rekod temasya pada saringan semalam apabila sekali lagi mencatat rekod baharu dalam final di Arena Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur pada Selasa.

Iklan
Iklan

Atlet kebangsaan itu merekodkan 10.36 saat (s) untuk meraih emas, memperbaiki catatan 10.44s yang dilakukannya pada saringan ketujuh.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana dapat menamatkan saingan 100 meter dengan baik dan memecahkan rekod untuk kali kedua.

Iklan

"Tiada rahsia khusus, saya cuma percaya kepada rezeki Allah serta menjaga pemakanan, tidur dan pemulihan. Itu yang penting untuk memastikan badan berada dalam keadaan baik," katanya.

Danish Iftikhar selepas ini memberi tumpuan kepada 200m tanpa meletakkan sasaran khusus, sebaliknya mahu memberikan persembahan terbaik selain memperbaiki catatan musim ini.

Iklan

Dia kemudian akan menyarung jersi negara di Oman dalam acara 100m dan 4x100m, dengan kejohanan itu menjadi persiapan penting bagi memantapkan kuartet negara menuju Sukan Asia Aichi-Nagoya.

Airiel Iskandar Rusli dari Politeknik Malaysia meraih perak dengan 10.63s, manakala pelari Universiti Putra Malaysia (UPM), Ahmad Amir Aiman Kamaruddin, membawa pulang gangsa menerusi catatan 10.65s.

Fatin Ilyana muncul juara acara 100m SUKIPT 2026 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada Selasa. Foto : Bernama.

Dalam saingan wanita, Fatin Ilyana menamatkan penantian empat tahun apabila meraih emas menerusi catatan 11.93s, sekali gus memperbaharui rekod peribadi terbaik (PB) 11.96s yang dilakukan pada 2022.

"Alhamdulillah, saya sangat berbangga sebab memang sasaran saya adalah untuk buat PB. Saya sudah lama tak buat PB, iaitu sejak 2022 dengan catatan 11.96s.

"Jadi ini yang pertama selepas empat tahun dan memang saya meletakkan sasaran hendak sangat untuk pecahkan PB saya," katanya.

Rakan sepasukan UPSI, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka meraih perak dengan 12.13s, manakala Nur Izzati Eliana Suhaidi melengkapkan podium menerusi catatan 12.23s.

Fatin Ilyana yang pernah bergelut dengan beberapa siri kecederaan termasuk retakan kecil dan hamstring kini menyasarkan catatan bawah 11.90s apabila membawa cabaran negara dalam acara 100m dan 4x100m pada Grand Prix Muscat, kejohanan bertaraf Gangsa Siri Jelajah Benua Olahraga Dunia.