ATLET rejam lembing wanita negara, Ng Jing Xuan menghadiahkan detik istimewa buat Universiti Sunway apabila bukan sahaja merangkul pingat emas, malah mencipta rekod baharu temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di Arena UM, Universiti Malaya (UM) pada Isnin.
Atlet berusia 22 tahun itu melakukan balingan sejauh 46.92 meter (m) dalam saingan akhir untuk memecahkan rekod terdahulu 44.41m yang dicipta Nur Fatin Adibah Suharman dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada SUKIPT 2016.
Kejayaan itu hadir pada sambutan Hari Kebangsaan sekali gus menjadi hadiah bermakna buat kontinjen Universiti Sunway, biarpun Jing Xuan masih belum berpuas hati sepenuhnya kerana sasaran utama untuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri tidak tercapai.
"Untuk SUKIPT kali ini, sasaran saya adalah memberikan yang terbaik. Memang ada sasaran untuk memecahkan rekod kebangsaan, tetapi hari ini belum ada rezeki.
"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dapat mencipta rekod baharu SUKIPT," katanya.
Jing Xuan berkata, persediaan selama sebulan selepas pulang daripada Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 Tahun membantu meningkatkan tahap kecergasannya menjelang SUKIPT, namun mengakui prestasi hari ini tidak seperti yang diharapkan.
Menurutnya, perubahan waktu pertandingan pada saat akhir daripada sesi petang kepada pagi turut sedikit mempengaruhi rentak persembahannya.
"Saya rasa masih boleh melakukan catatan lebih jauh berdasarkan prestasi ketika latihan sebelum ini. Tetapi kami terima keputusan ini dan akan terus memperbaiki kelemahan," katanya.
Beliau kini mengalihkan fokus kepada persiapan menghadapi Sukan Universiti ASEAN (AUG) pada Disember ini sebelum memburu cabaran lebih besar pada Sukan SEA tahun depan.
Dalam saingan akhir itu, Jing Xuan muncul juara dengan meninggalkan pencabar lain, manakala pingat perak menjadi milik Farisha Athirah Wai dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan catatan 36.21m.
Tai Yu Tian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pula melengkapkan podium selepas meraih gangsa menerusi balingan 32.74m.