KOTA BHARU -"Saya tak ada ibu... saya anggap makcik macam ibu saya."
Itu kata-kata penuh simpati yang dilontarkan oleh Pegawai Bomba Kanan I Che Mazlan Che Mohamad semasa memujuk seorang wanita warga Indonesia berusia 52 tahun yang dipercayai mengalami kemurungan ketika berada berhampiran tangki air di sebuah rumah perlindungan di sini pada Isnin.
Beliau yang merupakan Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu berkata, usaha memujuk wanita berkenaan mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum dia akhirnya bersetuju untuk turun dan diselamatkan.
Menurut beliau, ketika berada dalam keadaan tertekan, wanita itu dilihat sukar dipujuk menyebabkan pihaknya menggunakan pendekatan psikologi dengan berbicara secara perlahan dan menyentuh emosinya.
"Saya tanya dia ada berapa orang anak. Dia maklum ada lima anak.
"Saya bagitahu...saya tiada ibu. Saya anggap dia macam ibu saya sendiri," katanya ketika dihubungi.
Che Mazlan memberitahu, wanita berkenaan difahamkan berada di rumah perlindungan itu sementara menunggu proses untuk dihantar pulang ke negara asalnya.
Ujar beliau, pendekatan secara kekeluargaan itu akhirnya membuahkan hasil apabila wanita terbabit bersetuju untuk diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.
"Bagi saya, dalam situasi seperti ini, bukan semata-mata soal kekuatan fizikal, tetapi kita perlu cuba memahami perasaan mangsa dan bercakap dengan cara yang boleh membuatkan dia rasa masih ada orang mengambil berat tentang dirinya," katanya.
Beliau memberitahu, dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, BBP Kota Bharu menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi dan operasi tamat pada jam 4.55 petang.