Had kelayakan Budi Madani kembali kepada 300 liter mulai esok - MOF

Iklan
Had kelayakan asas bulanan Program Budi Madani akan dikembalikan semula kepada 300 liter mulai 1 September.

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kerajaan menetapkan tiga kategori penerima di bawah Program Budi Madani yang akan menikmati peningkatan had kelayakan asas bulanan mulai 1 September.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa had kelayakan yang sebelum ini dikurangkan akan dinaikkan semula selaras dengan keputusan kerajaan untuk memperkukuh sokongan kepada golongan yang layak menerima subsidi bahan api.

Iklan
Iklan

Menurut kementerian itu, kategori pertama melibatkan penerima Budi Madani RON95 (BUDI95) yang terdiri daripada warganegara Malaysia dengan MyKad dan lesen memandu aktif.

“Golongan ini akan menikmati had kelayakan sebanyak 300 liter sebulan berbanding 200 liter pada Ogos 2026,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Iklan

Bagi kategori kedua, MoF menjelaskan bahawa penerima yang memenuhi syarat asas BUDI95 serta memiliki kenderaan diesel persendirian dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan yang masih aktif turut akan menerima had kelayakan sebanyak 300 liter sebulan.

Sementara itu, kategori ketiga melibatkan penerima Budi Madani Diesel (BUDI Diesel) yang telah diluluskan tambahan kuota sebanyak 100 liter sebulan bagi kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan utiliti sukan (jip).

Iklan

“Penerima dalam kategori ini akan menikmati jumlah keseluruhan kelayakan sebanyak 400 liter sebulan berbanding 300 liter sebelum ini.

“Pemilik pikap dan jip yang layak tetapi belum memohon tambahan tersebut boleh berbuat demikian menerusi portal Budi Madani di www.budimadani.gov.my,” katanya.

MoF berkata, keputusan mengembalikan had kelayakan bulanan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk pengurusan bekalan yang semakin teratur, penguatkuasaan yang lebih berkesan, prestasi ekonomi negara yang kukuh serta keupayaan kewangan kerajaan.

Menurut kementerian itu, langkah berkenaan turut mengambil kira keperluan rakyat yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk urusan harian selain membantu peniaga kecil yang bergantung kepada kenderaan sebagai sumber pendapatan.

“Kerajaan Madani akan terus memastikan subsidi bahan api disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak di samping memperkukuh usaha membendung ketirisan, penyeludupan dan penyalahgunaan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, MoF memaklumkan bahawa seramai 16 juta pengguna kini menikmati petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter.

Daripada jumlah tersebut, lebih 700,000 pengguna turut layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.