Jom Malaysia: memaknai jiwa patriotisme

Iklan
Inilah semangat yang ingin dibawa melalui JOM MALAYSIA: Jom Beli Produk Malaysia.

Bukan sekadar seruan, tetapi satu gerakan nasional memartabatkan produk Malaysia

Setiap kali tibanya bulan Kebangsaan, kita bercakap tentang patriotisme. Kita laungkan ungkapan ‘Merdeka!’, menghayati sejarah perjuangan dan meraikan pencapaian negara.

Iklan
Iklan

Namun, patriotisme tidak semestinya hanya diterjemahkan melalui sambutan dan kibaran Jalur Gemilang. Ia juga boleh dizahirkan melalui pilihan kita setiap hari — termasuklah pilihan ketika membeli produk dan menggunakan perkhidmatan.

Dengan memilih produk Malaysia yang berkualiti, kita sebenarnya sedang memberi kepercayaan kepada usahawan tempatan, menyokong pekerjaan rakyat dan membantu mengukuhkan ekonomi negara.

Iklan

Inilah semangat yang ingin dibawa melalui JOM MALAYSIA: Jom Beli Produk Malaysia.

Daripada kempen kepada gerakan nasional

Iklan

Usaha menggalakkan rakyat membeli produk tempatan bukanlah perkara baharu. Sejak 1984, Kempen Beli Barangan Malaysia telah menjadi antara usaha Kerajaan untuk menggalakkan rakyat mengenali dan memilih produk tempatan.

Kini, setelah lebih empat dekad, dunia sudah berubah. Cara kita membeli juga berubah. Rakyat hari ini bukan sahaja berkunjung ke kedai fizikal, tetapi membuat pembelian melalui telefon pintar, platform e-dagang dan media sosial. Mereka membandingkan harga, kualiti, ulasan, jenama dan pengalaman membeli.

Justeru, pendekatan juga perlu berubah.

JOM MALAYSIA yang dilancarkan oleh YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sempena Festival Jom Malaysia di Pasar Seni pada 27 Jun yang lalu, bukan sekadar pertukaran logo atau perubahan kosmestik. Sebaliknya, ia adalah evolusi daripada sebuah kempen kepada satu gerakan nasional.

Gerakan yang menggabungkan usaha seluruh rakyat dan pelbagai sektor perkhidmatan untuk menyokong produk tempatan serta membawa jenama Malaysia ke pasaran antarabangsa.

Tanggungjawab ini bukan milik kerajaan sahaja.

Usahawan perlu meningkatkan kualiti. Peruncit perlu memberi ruang. Platform digital perlu memperluas capaian. Sektor swasta perlu bersama membina ekosistem dan pengguna pula memainkan peranan paling besar iaitu kuasa memilih.

Produk Malaysia menjadi pilihan kerana kualiti

Pelbagai pilihan produk dari luar negara yang jauh lebih murah sedikit sebanyak memberi saingan besar kepada produk tempatan. Namun, pengguna hari ini semakin bijak dan mempunyai hak untuk memilih yang terbaik.

Produk tempatan hari ini juga telah banyak berubah. Kualitinya semakin baik, reka bentuknya lebih moden, inovatif dan mampu memenuhi cita rasa pengguna. Malah, banyak produk keluaran Malaysia kini berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan mendapat pengiktirafan di peringkat global.

Justeru, Jom Beli Produk Malaysia perlu menjadi lonjakan semangat patriotisme dan keyakinan rakyat terhadap produk Malaysia. Kita mahu produk Malaysia menjadi pilihan kerana kualiti, harga, inovasi dan nilai — bukan sekadar kerana ia berasal dari Malaysia.

Harapan kita untuk 10 tahun akan datang ialah rakyat Malaysia tidak lagi perlu dipujuk untuk memilih produk tempatan. Apabila jenama Malaysia berjaya di pentas dunia, kita mahu rasa bangga itu hadir secara semula jadi.

Memaknai jiwa patriotisme

Bulan Kebangsaan seharusnya menjadi masa untuk kita bertanya: Bagaimana kita boleh menunjukkan rasa cinta kepada negara dalam kehidupan seharian?

Bagaimana kita menilai makna patriotisme selain kibaran Jalur Gemilang dan menjulang pahlawan pejuang kemerdekaan?

Kita mulakan dengan pilihan kita. Kita pilih produk Malaysia kerana yakin. Kita beli kerana bangga.

Kerana pada akhirnya, JOM MALAYSIA bukan sekadar tentang apa yang kita beli. Ia tentang keyakinan kita terhadap kemampuan anak tempatan untuk mencipta, menghasilkan dan bersaing dengan yang terbaik, seterusnya memperkukuh perusahaan tempatan serta menjulang ekonomi domestik.  

“Jom Beli Produk Malaysia.”