SHAH ALAM – Sebarang cadangan untuk memindahkan atau menganjurkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) di lokasi lain termasuk Melaka dilihat tidak sesuai.
Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, Langkawi telah menjadi sebahagian daripada identiti acara berkenaan sejak ia mula dianjurkan pada 1991 khususnya dalam kemajuan industri aeroangkasa dan maritim.
Menurutnya, keunikan LIMA adalah menggabungkan kedua-dua elemen aeroangkasa dan maritim secara serentak.
Katanya, LIMA bukan sekadar sebuah acara yang kebetulan diadakan di Langkawi, sebaliknya penganjurannya mempunyai kaitan rapat dengan kedudukan strategik pulau berkenaan.
“Pemilihan Langkawi mengambil kira faktor geografi pantai dan lapangan terbang selain pembangunan pelancongan serta ekonomi pulau berkenaan. Jika LIMA dianjurkan di lokasi selain Langkawi, penggunaan nama LIMA sendiri tidak lagi begitu sesuai kerana identiti acara itu sememangnya sinonim dengan Langkawi.
“Sewaktu LIMA mula dianjurkan, Langkawi dipilih bukan secara kebetulan. Ia merupakan sebuah pulau pelancongan yang mempunyai lapangan terbang antarabangsa serta perairan terbuka,” katanya pada Isnin.
Pada Ahad, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor berkata, kerajaan meneroka alternatif untuk menganjurkan LIMA di Melaka pada masa hadapan.
Beliau berkata, bagaimanapun ia memerlukan pelaburan besar daripada kerajaan, bagi memastikan infrastruktur berkaitan dapat dilengkapkan dengan sempurna sebelum pameran berkenaan dapat dilaksanakan.
Mengulas lanjut, Zaki berkata, keluasan landasan terbang di Langkawi mampu menempatkan banyak pesawat khususnya pesawat tempur pelbagai jenis yang sesuai untuk penganjuran segmen udara.
Beliau menjelaskan, perairan Langkawi juga sesuai untuk kapal perang berlabuh kerana mempunyai alur pelayaran dan kedalaman laut yang mampu menampung draf atau bahagian kapal di bawah permukaan air bagi kapal tentera laut berskala besar.
“Pada ketika itu juga, pempamer dan delegasi antarabangsa yang hadir bukan sahaja menyertai pameran, malah sebahagian daripada mereka mengambil peluang untuk melanjutkan tempoh percutian di Langkawi sebelum pulang ke negara masing-masing,” katanya.
Zaki menegaskan, LIMA pada asasnya merupakan pameran yang berorientasikan perdagangan, industri pertahanan dan hubungan strategik antarabangsa, bukannya acara yang matlamat utamanya untuk mengumpulkan seramai mungkin pengunjung.
“Kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan dan pihak berkaitan juga perlu melihat semula kecenderungan menjadikan jumlah kehadiran pengunjung sebagai salah satu ukuran utama kejayaan LIMA.
“Nilai sebenar LIMA terletak pada pertemuan kerajaan, angkatan tentera, pemain industri aeroangkasa dan maritim, pembuat keputusan, pelabur serta delegasi antarabangsa yang boleh menghasilkan peluang perdagangan dan kerjasama strategik,” katanya.
Zaki menambah, nilai perdagangan yang dijana LIMA juga tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut perolehan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sebaliknya turut merangkumi peluang perniagaan dan kerjasama industri di peringkat serantau serta antarabangsa.
Beliau berkata, pemilihan Langkawi turut mempunyai kelebihan dari aspek keselamatan apabila pernah berlaku beberapa insiden membabitkan pesawat terhempas semasa melakukan pertunjukan.
“Bagaimanapun, risiko kecelakaan lebih buruk dapat dielakkan kerana kedudukan Langkawi sendiri serta kawasan penduduk yang tidak padat.
“Perairan terbuka amat penting bagi demonstrasi maritim dan persembahan udara kerana ia menyediakan ruang yang lebih sesuai untuk aktiviti berkenaan, termasuk mengurangkan risiko kepada kawasan daratan dan orang awam,” katanya.
Zaki yang juga wartawan dan penganalisis pertahanan berkata, beliau membuat liputan serta menghadiri LIMA sejak 1999 dan melihat sendiri banyak kemajuan serta perkembangan dalam penganjuran acara berkenaan.
Menurutnya, cadangan menggunakan lokasi lain sebagai ‘venue’ LIMA bukan perkara baharu kerana sekitar 2003 hingga 2005 pernah timbul ura-ura untuk menganjurkannya di Kota Kinabalu, Sabah yang mempunyai beberapa persamaan dengan Langkawi dari aspek kedudukan dan geografi.
Bagaimanapun katanya, tiada langkah susulan ke arah tersebut kerana sebarang keputusan untuk memilih lokasi baharu memerlukan kos yang besar.
Subang juga pernah dilihat sebagai lokasi sesuai, namun mempunyai keterbatasan kerana lebih menjurus kepada penganjuran acara udara.
“Subang International Air Carnival 2014 yang berlangsung di Subang Skypark pada 12 hingga 15 Jun 2014 juga menunjukkan bahawa lokasi berkenaan lebih sesuai untuk acara aeroangkasa atau karnival udara dan ia hanya dianjurkan sekali.
“Di Melaka pula sudah mempunyai Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam yang menghimpunkan pesawat, helikopter, dron dan pameran teknologi penerbangan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, KUAM tidak mempunyai komponen maritim seperti LIMA dan penganjurannya pada 2023 serta 2024 lebih tertumpu kepada tarikan persembahan udara dan pengunjung.
“Ini sebenarnya yang patut dikembangkan oleh kerajaan Melaka. Jika mahu memperkukuhkan sektor aeroangkasa dan menjadikan Melaka sebagai destinasi acara udara, KUAM boleh diperbesar dan diperkasakan tanpa perlu mengambil identiti serta nama LIMA.
“LIMA sudah mempunyai jenama, sejarah dan identiti tersendiri yang terbina bersama Langkawi selama lebih tiga dekad,” katanya.
Ujar beliau, memindahkan LIMA ke tempat lain bukan sekadar melibatkan pertukaran lokasi acara, sebaliknya berisiko memisahkan pameran itu daripada identiti asal yang menjadi kekuatannya.