IPU cecah 475, Serian kawasan paling teruk dilanda jerebu

Iklan
Tangkap layar info grafik yang disertakan bersama kenyataan media pada Isnin.

SHAH ALAM - Kualiti udara di beberapa kawasan di seluruh negara dilaporkan merosot hari ini dengan empat kawasan di Sarawak mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap berbahaya, dipengaruhi oleh pergerakan asap jerebu rentas sempadan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, bacaan IPU pada jam 9 pagi menunjukkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian di Sarawak merekodkan bacaan tertinggi iaitu 475, diikuti Samarahan (334), Sri Aman (330) dan Kuching (324).

Iklan
Iklan

Secara keseluruhan, pemantauan JAS merekodkan dua kawasan pada tahap baik, 44 sederhana, 14 tidak sihat, tiga sangat tidak sihat dan empat pada tahap berbahaya.

Di Sarawak, tiga kawasan merekodkan tahap sangat tidak sihat iaitu Sarikei (271), Sibu (219) dan Mukah (214).

Iklan

Sementara itu, 14 kawasan berada pada tahap tidak sihat meliputi Samalaju (180), Miri (171), ILP Miri (169), Kapit (164), Bintulu (161), Limbang (159), Sungai Petani, Kedah (157), Wilayah Persekutuan Labuan (157), Seberang Jaya, Pulau Pinang (156), Seberang Perai, Pulau Pinang (155), Minden, Pulau Pinang (153), Tawau, Sabah (153), Taiping, Perak (150) dan Politeknik Kota Kinabalu, Sabah (111).

Azuri Azizah berkata, kemerosotan kualiti udara di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, Sarawak, Sabah dan WP Labuan itu berpunca daripada pergerakan kepulan asap jerebu dari pelbagai arah.

Iklan

"Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) bertarikh 30 Ogos, imej satelit NOAA-20 mengesan 324 titik panas di Kalimantan, 42 di Sumatera dan dua dalam negara iaitu masing-masing satu di Perak dan Sarawak.

"Kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal diperhatikan meliputi Kalimantan Barat dan Tengah, Brunei serta bahagian barat dan tengah Sarawak.

"Kepulan asap dari Kalimantan Utara turut bergerak memasuki selatan Sabah, manakala keadaan litupan awan menghalang penentuan penuh titik panas di rantau ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, susulan peningkatan titik panas dan jerebu yang meluas di rantau ASEAN selatan, Sekretariat ASEAN telah mengaktifkan Tahap Amaran 3 berkuat kuasa 27 Ogos lalu selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) MAJER ASEAN.

Mengulas tindakan domestik, JAS mengesahkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) kini diaktifkan secara berterusan dengan penglibatan pelbagai agensi.

Berdasarkan PTJK, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat daerah, negeri atau pusat sekiranya bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh melebihi 24 jam.

"Operasi Pembenihan Awan (OPA) juga akan dilaksanakan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai," katanya.

Bagi sektor pendidikan, semua aktiviti di luar bilik darjah dihentikan apabila IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska diwajibkan tutup serta-merta jika IPU melebihi 200.

Pihak sekolah diminta memantau trend IPU bagi membuat persediaan penutupan awal.

"JAS turut mengarahkan pihak industri mengurangkan pelepasan udara daripada punca utama di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 300," katanya lagi.

Bagi Sarawak, JAS negeri meningkatkan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT), rondaan berkala serta tindakan penguatkuasaan tegas di kawasan berisiko seperti tanah gambut, hutan, tapak pelupusan sampah, kawasan pertanian dan industri, dengan mengambil kira keselamatan anggota di lapangan.

"Orang ramai dinasihatkan memantau bacaan IPU semasa menerusi laman sesawang JAS atau aplikasi MyJAS EQMS serta elak melakukan pembakaran terbuka," tambahnya.

JAS mengingatkan bahawa di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, pesalah pembakaran terbuka boleh dikenakan denda minimum RM25,000 sehingga RM1 juta, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, selain kompaun sehingga 50 peratus daripada denda maksimum.

Sebarang insiden kebakaran boleh dilaporkan segera kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau talian bebas tol JAS 1-800-88-2727.