MUNIF 2.0 menggerakkan solidariti ummah

Iklan
Sebahagian peserta MUNIF 1.0 di Bandar Darulaman, Jitra, Kedah, pada 14 September 2025.

PROF MADYA DR AMINURRASYID YATIBAN

PADA 3 September 2026, Kota Bharu akan menjadi titik pertemuan baharu bagi pemimpin gerakan Islam, ahli Parlimen, cendekiawan, aktivis dan perwakilan diplomatik dari pelbagai negara.

Muslim Ummah International Forum (MUNIF) 2.0 hadir bukan sekadar untuk mengulang seruan solidariti, tetapi untuk meneliti sejauh mana jaringan yang telah dibina sejak MUNIF 1.0 mampu diterjemahkan menjadi tindakan bersama yang tersusun, berterusan dan berimpak.

Iklan
Iklan

Di sebalik kesinambungan usaha ini ialah peranan Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, yang menjadi antara penggerak utama MUNIF sejak gagasan ini dibangunkan sebagai sebuah wadah jaringan ummah antarabangsa.

Sebagai Pengerusi MUNIF 2.0, beliau membawa pendekatan yang menekankan bahawa solidariti umat Islam tidak boleh berhenti pada kenyataan politik atau manifestasi sokongan semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan kepada jaringan, mekanisme tindakan dan kerjasama rentas sempadan yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Iklan

Dr Muhammad Khalil menyampaikan ucapan selaku Pengerusi MUNIF 1.0.

Usaha tersebut turut digerakkan dengan dukungan satu pasukan yang merangkumi antara lainnya Dr Zuhilmi Abd Rahman dan Tuan Haji Mohd Adram Musa di samping urus setia dan jaringan organisasi yang terlibat.

Iklan

Gabungan kepimpinan politik, pemikiran strategik dan pengurusan organisasi inilah yang memberikan MUNIF sifatnya sebagai suatu proses yang dirancang, bukan sekadar sebuah acara.

MUNIF 1.0, berlangsung di Bandar Darulaman, Jitra, Kedah pada 14 September 2025, menghimpunkan sekitar 120 peserta yang terdiri daripada pemimpin gerakan Islam, sarjana dan aktivis kemanusiaan dari sembilan negara.

Delegasi yang hadir merangkumi Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Brunei, Pakistan, Sri Lanka, Bangladesh dan Turkiye.

Kehadiran tokoh-tokoh gerakan Islam serantau dan antarabangsa memberikan MUNIF 1.0 sifat yang lebih besar daripada sebuah seminar biasa di mana ia menjadi medan membina hubungan, menyamakan kefahaman dan mencari bahasa tindakan bersama terhadap isu Palestin.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyampaikan ucaptama.

Kemuncak MUNIF 1.0 ialah Deklarasi Kedah 2025 yang mengandungi 10 resolusi.

Antara gagasan utamanya ialah pembentukan Southeast Asia–Palestine Solidarity Network (SEAPSN), penyelarasan tabung kemanusiaan bersama, peluasan peluang pendidikan dan biasiswa untuk rakyat Palestin, pengukuhan diplomasi rakyat-ke-rakyat, advokasi undang-undang terhadap jenayah perang, pengukuhan kempen boikot, pembentukan forum belia dan Muslimat Nusantara, pengintegrasian isu Palestin dalam pendidikan, penyelarasan bantuan kecemasan serta usaha membawa suara MUNIF ke platform seperti ASEAN, OIC dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Forum antarabangsa mudah menghasilkan ucapan, foto dan resolusi. Cabaran yang lebih besar ialah memastikan jaringan yang lahir tidak berakhir apabila pentas ditutup.

Justeru, MUNIF 2.0 datang dengan satu tuntutan yang lebih berat, iaitu bukan sekadar menghasilkan deklarasi baharu, tetapi membuktikan bahawa deklarasi sebelumnya mempunyai kesinambungan institusi dan mekanisme pelaksanaan.

MUNIF 2.0: Daripada solidariti kepada mekanisme tindakan

MUNIF 2.0 akan berlangsung di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan, dengan tema 'Uniting to Amplify the Power of the Ummah: Global Solidarity with Iran Towards the Liberation of Palestine'.

Forum ini dijadualkan menghimpunkan pemimpin gerakan Islam, ahli Parlimen, perwakilan diplomatik, wakil NGO, cendekiawan dan peserta antarabangsa.

Pemilihan tema ini turut menggambarkan pemikiran yang dibawa oleh kepimpinan MUNIF di bawah Dr Muhammad Khalil, iaitu bahawa persoalan Palestin tidak boleh dibaca secara terpisah daripada perubahan geopolitik yang berlaku dalam dunia Islam.

Konflik, tekanan terhadap kedaulatan negara, persaingan kuasa besar dan percaturan keselamatan serantau akhirnya mempunyai implikasi langsung terhadap perjuangan Palestin.

Justeru, solidariti memerlukan kefahaman geopolitik yang lebih matang serta pembentukan jaringan antarabangsa yang tidak mudah terpecah oleh perbezaan mazhab, kelompok, organisasi atau kepartian.

Ucapan perasmiannya akan disampaikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, manakala Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan menyampaikan ucaptama.

Pada sebelah malamnya, hasil persidangan akan dimuktamadkan melalui Deklarasi Kota Bharu 2026 dalam majlis bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud.

Apa yang menjadikan MUNIF 2.0 signifikan ialah penekanannya terhadap pelaksanaan.

Dokumen program menetapkan usaha untuk mengaktifkan dan memperkukuh Jawatankuasa Tindakan Bersama yang lahir daripada MUNIF 1.0.

Sasaran kali ini juga lebih jelas, iaitu mengkonsolidasikan jaringan antarabangsa menjadi satu blok pemikiran dan tindakan; meneruskan advokasi praktikal untuk Palestin dan Iran; mempertahankan prinsip kedaulatan negara umat Islam daripada campur tangan luar; memperkasakan pelaksanaan resolusi bersama; serta membina naratif Islam yang lebih tersusun dan mampu bersaing dalam ruang media antarabangsa.

Dalam kata lain, MUNIF 2.0 cuba bergerak satu tahap ke hadapan. Jika MUNIF 1.0 membina rangkaian dan meletakkan asas, MUNIF 2.0 pula akan berfungsi sebagai fasa pengukuhan: dengan memastikan siapa melakukan apa, melalui saluran mana, dengan rakan strategik siapa dan bagaimana hasilnya hendak dinilai.

Peralihan daripada “forum” kepada “platform tindakan” inilah yang boleh menentukan sama ada MUNIF berkembang sebagai institusi yang relevan atau kekal sebagai acara tahunan yang bersifat seremonial.

Mengapa MUNIF penting?

Pertama, MUNIF mengisi satu kekosongan besar dalam gerakan solidariti ummah yang kekurangan penyelarasan.

Selama ini, kerajaan, parti politik, NGO, gerakan Islam, institusi pendidikan, aktivis kemanusiaan dan jaringan belia sering bergerak dengan niat yang sama tetapi dalam saluran yang berasingan. MUNIF menawarkan ruang untuk merangka kerja bersama.

Apabila jaringan ini disusun, suara yang sebelum ini terpecah boleh menjadi lebih konsisten, sumber dapat digabungkan dan kempen dapat dirancang dengan sasaran yang lebih jelas.

Kedua, MUNIF menghubungkan solidariti masyarakat dengan proses politik dan dasar. Kehadiran ahli Parlimen, pembuat dasar, pemimpin kerajaan negeri, tokoh gerakan Islam dan NGO membolehkan sesuatu isu bergerak daripada tahap kempen awam kepada perbahasan dasar, diplomasi, pendidikan, bantuan kemanusiaan dan advokasi undang-undang.

Inilah nilai yang tidak dapat dicapai jika solidariti hanya bergantung kepada himpunan atau kenyataan media. MUNIF berpotensi menjadi jambatan antara suara masyarakat dan saluran institusi.

Dalam konteks ini, kedudukan Dr Muhammad Khalil sebagai seorang pemimpin politik yang turut aktif dalam jaringan antarabangsa memberikan MUNIF kelebihan tertentu.

Beliau mampu mempertemukan dunia gerakan Islam dengan ruang politik institusi, sekali gus membuka kemungkinan agar gagasan yang lahir daripada forum tidak hanya beredar dalam kalangan aktivis, tetapi turut dibawa kepada pembuat dasar dan jaringan diplomatik.

Ketiga, MUNIF memperkukuhkan kedudukan Asia Tenggara sebagai satu ruang strategik dalam isu Palestin dan dunia Islam. Rantau ini mempunyai populasi Muslim yang besar, jaringan NGO yang aktif, institusi pendidikan yang kukuh dan hubungan diplomatik yang luas.

Namun kekuatan tersebut tidak selalu diterjemahkan menjadi suara serantau yang terselaras. MUNIF membuka ruang untuk Malaysia, bersama rakan-rakan di Nusantara dan Asia, berperanan sebagai penghubung antara gerakan masyarakat, pemimpin politik dan jaringan antarabangsa.

Keempat, MUNIF meletakkan perjuangan Palestin dalam kerangka yang lebih luas daripada bantuan kemanusiaan semata-mata. Bantuan makanan, perubatan dan dana tetap mendesak, tetapi konflik yang berpanjangan juga melibatkan diplomasi, undang-undang antarabangsa, ekonomi, pendidikan, media dan pembentukan persepsi.

MUNIF 1.0 sudah menggariskan dimensi-dimensi ini melalui Deklarasi Kedah. MUNIF 2.0 pula memperluas perbincangan kepada kedaulatan Iran dan tekanan geopolitik yang memberi kesan kepada kestabilan dunia Islam, sambil mengekalkan pembebasan Palestin sebagai orientasi utamanya.

Kelima, MUNIF penting dalam peperangan naratif. Pada zaman media sosial, persepsi antarabangsa dibentuk dalam masa beberapa minit. Maklumat, propaganda, disinformasi dan pembingkaian berita boleh menentukan bagaimana sesuatu konflik difahami oleh masyarakat dunia.

Sebab itu usaha membina “naratif Islam yang bersatu” bukan persoalan kosmetik. Ia berkaitan kemampuan umat Islam menjelaskan pendirian mereka dengan bahasa yang tersusun, berfakta, dapat difahami oleh khalayak antarabangsa dan tidak mudah dipatahkan oleh naratif lawan.

Kota Bharu sebagai ujian kesinambungan

MUNIF 2.0 juga hadir dalam satu rangka kesinambungan yang semakin jelas. Kenyataan penganjur meletakkannya selepas MUNIF 1.0 di Kedah pada 2025 dan Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah di Terengganu pada April 2026.

Ertinya, forum di Kota Bharu bukan sebuah acara yang terasing, tetapi sebahagian daripada usaha membina jaringan rentas sempadan secara bertahap.

Dari Kedah ke Terengganu dan kini Kelantan, wujud percubaan untuk membina momentum serta mengekalkan hubungan antara pemimpin dan organisasi yang telah dipertemukan.

Di sinilah Deklarasi Kota Bharu 2026 bakal menjadi dokumen penting. Nilainya tidak hanya terletak pada kekuatan bahasa atau jumlah resolusi yang diumumkan, tetapi pada kemampuannya menetapkan keutamaan yang boleh dilaksanakan.

Jika deklarasi itu dapat memperincikan struktur Jawatankuasa Tindakan Bersama, bidang tanggungjawab, rakan pelaksana, tempoh tindakan dan mekanisme susulan, MUNIF 2.0 akan mempunyai asas yang lebih kukuh untuk membina kredibiliti sebagai platform antarabangsa.

Kota Bharu juga memberikan simbolisme tersendiri. Kelantan mempunyai tradisi panjang sebagai pusat pendidikan Islam, dakwah dan politik Islam di Malaysia.

Menghimpunkan delegasi antarabangsa di negeri ini meletakkan Kota Bharu bukan sekadar sebagai lokasi persidangan, tetapi sebagai ruang pertemuan idea dan jaringan ummah.

Dalam konteks inilah MUNIF berpotensi membantu menjadikan Malaysia - khususnya jaringan negeri-negeri yang terlibat - sebagai salah satu pusat perhubungan gerakan solidariti Islam di Asia Tenggara.

Melangkaui kelompok dan kepartian

Satu mesej penting MUNIF 2.0 ialah bahawa solidariti terhadap Palestin dan persoalan kedaulatan negara umat Islam tidak seharusnya disempitkan kepada kelompok, parti atau aliran tertentu.

Penganjur menegaskan bahawa apabila penindasan, pencerobohan atau krisis kemanusiaan berlaku, kesannya melampaui sempadan organisasi.

Pendekatan ini penting jika MUNIF mahu berkembang sebagai platform yang mempunyai daya tarikan lebih luas dan tidak dilihat sebagai ruang milik satu kelompok sahaja.

Pendirian ini juga merupakan antara mesej yang paling jelas dibawa oleh Dr. Muhammad Khalil menjelang MUNIF 2.0. Solidariti terhadap Iran dan Palestin, menurut penganjur, bukan persoalan kelompok atau kepartian.

Ia bertolak daripada persoalan kedaulatan, penentangan terhadap campur tangan luar dan tanggungjawab bersama terhadap penderitaan umat.

Dengan pendekatan demikian, MUNIF mempunyai peluang untuk membina titik temu yang lebih luas daripada sempadan politik domestik Malaysia.

Kekuatan MUNIF, justeru, terletak pada kemampuan menghimpunkan pihak yang mungkin berbeza latar politik, negara, organisasi dan pendekatan tetapi mempunyai titik temu pada soal maruah manusia, kedaulatan, keadilan dan pembelaan terhadap Palestin.

Lagi luas ruang kerjasama yang dapat dibina tanpa mengorbankan prinsip, lagi besar potensi forum ini untuk memberi kesan sebenar.

Pada 3 September, perhatian akan tertumpu kepada Hotel Perdana, Kota Bharu. Namun begitu, makna sebenar MUNIF 2.0 hanya akan terserlah selepas itu apabila Deklarasi Kota Bharu diterjemahkan kepada kerja, apabila Jawatankuasa Tindakan Bersama benar-benar bergerak dan apabila jaringan yang dibina mampu menghasilkan kesan yang boleh dilihat.

Itulah cabaran, dan pada masa yang sama, peluang terbesar MUNIF.

* Prof Madya Dr Aminurrasyid Yatiban ialah Pengarah Muslim Ummah International Forum (MUNIF) 2.0