SHAH ALAM - Jika kebiasaannya pemilik membawa kucing atau anjing peliharaannya keluar bersiar-siar, berbeza pula kisahnya dengan seorang perias kosmetik ikan kelisa atau arowana.
Baru-baru ini tular satu video di Threads memaparkan seorang pemuda dengan idea luar biasanya membawa ikan arowana peliharaan bermain gelongsor, jongkang-jongket dan buaian di taman.
Mohd Suffri Md Yasin, 30, berkata, dia pada mulanya tidak menyangka video lama yang dimuat naik di TikTok dan Facebook pada 23 Jun lalu diulang siar di platform Threads sehinggakan mencuri perhatian ramai termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Baginya yang sudah empat tahun melakukan servis 'grooming' atau mencantikkan ikan kelisa, kandungan video tersebut sekadar gurauan dan tidak bermaksud untuk menyeksa haiwan peliharaan.
"Saya ada tertengok video pemilik kucing bawa kucing jalan-jalan di taman sebagai terapi elak haiwan peliharaan bosan, saya fikir elok juga kalau bawa arowana pusing taman waktu petang.
"Jadi, saya beli satu plastik khas berserta pemegang untuk bungkus arowana, anak-anak yang rekodkan video kononnya kasihan ikan asyik duduk dalam akuarium saja seumur hidup.
"Tapi itu sekali saja saya buat untuk video hiburan, bukan selalu lagi pun plastiknya saya tempah khas sekali pakai. Saya masih waras!" katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Video yang diulang siar di Threads pada Sabtu menerima 17,200 tanda suka termasuk 4,700 perkongsian.
Menerusi video berdurasi satu minit 28 saat itu, ikan arowana tersebut dimasukkan ke dalam plastik berisi air sebelum dibawa beriadah ke taman permainan.
Aksi itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, ada yang menyifatkannya sebagai lucu, unik dan di luar jangkaan.
Namun, tidak kurang juga yang bimbang dengan tindakan sedemikian.
Mohd Suffri memaklumkan, video itu tidak terlalu mendapat sambutan apabila ia dimuat naik di akaun TikTok peribadi kecuali baru-baru ini sahaja.
Pemuda asal Shah Alam, Selangor itu bagaimanapun mengakui senang hati apabila dapat menghiburkan orang ramai dan terbuka dengan apa jua pandangan wargamaya walaupun kontennya dikatakan lain daripada yang lain.
"Bila dah tular di Threads, saya pun tak tahu macam mana nak respons sebab tak jangka sangat.
“Tapi memang buat sekali saja walaupun arowana sejenis ikan yang biasa dibawa masuk atau keluar plastik banyak kali kiranya ia tidaklah stres,” ujarnya.
Ditanya lebih lanjut, Mohd Suffri atau mesra dipanggil Atan memberitahu, dia sudah menjaga lebih dari 30 ekor arowana memandangkan terdapat permintaan untuk mencantikkan ikan sebelum dihantar menyertai mana-mana pertandingan ‘fish grooming’.
"Setakat ini saya dah jaga lebih 30 ekor ikan arowana, bila pelanggan tawar sesuai dengan harga barulah dapat jual. Saya juga 'transhipper' urus kemasukan spesis arowana dari Indonesia ke Malaysia.
"Tak ada tangkapan sendiri, kebanyakannya beli atau ambil daripada kedai. Kalau ada yang nak cantikkan arowana peliharaan untuk masuk pertandingan pun akan hantar kepada saya," ujarnya.