KUALA LUMPUR - Hani Othman, isteri kepada anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB), Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau Loe yang masih belum dapat dikesan selepas bencana banjir dan tanah runtuh di Rasuwa, Nepal, kini mengusahakan pengumpulan barangan bantuan.
Bantuan berkenaan akan disalurkan kepada mangsa yang ditempatkan di kawasan selamat.
Hani berkata, beliau sedang berusaha menyertai pasukan sukarelawan yang akan membawanya ke kawasan kem yang menempatkan mangsa selamat untuk mengagihkan bantuan.
Menurutnya, penyertaannya dalam pasukan sukarelawan berkenaan tertakluk kepada syarat bahawa beliau perlu menyediakan barangan sumbangan terlebih dahulu sebelum dibawa ke tapak kem.
Hani berkata, beliau akan menggunakan hari ini dan esok untuk membeli barangan serta melakukan kerja pembungkusan sebagai persediaan misi berkenaan.
“Mungkin dengan cara ni saya boleh jumpa mereka di kawasan yang menempatkan mangsa selamat,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya pada Ahad.
Hani turut mengalu-alukan orang ramai yang mahu memberikan sumbangan, selain berharap usaha itu membuka peluang untuk bertemu rakyat Malaysia yang berada di kawasan selamat.
“Kalau ada yang nak beri sumbangan juga feel free to do so. Mana tahu dengan cara ni kita boleh jumpa rakyat Malaysia di kawasan selamat,” katanya.
Dalam grafik yang disertakan bersama hantaran itu, sebanyak 200 lagi kit penyelamat (rescue kits) akan disediakan dan barangan keperluan asas diperlukan bagi melengkapkan kit berkenaan.
Antara barangan yang diperlukan ialah 340 pek tuala wanita (sanitary pads), 720 unit berus gigi, 400 unit seluar dalam wanita baharu, 400 unit baju dalam wanita (bra) baharu dan 400 unit seluar dalam lelaki (boxers) baharu.
Turut diperlukan ialah 400 pasang selipar (jandals/chappals), 54 kotak mi segera dengan 30 paket bagi setiap kotak, 400 pek chiura 1kg dalam pembungkusan bertutup serta 320 pek dalmot, ready-to-eat chana atau kacang tanah 1kg dalam pembungkusan bertutup.
Selain itu, sebanyak 200 unit powerbank solar bersama wayar pengecas telefon turut diperlukan.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghantar bekalan barangan berkenaan terus ke Sunway College, Maitidevi.