OTTAWA - Ketua Menteri Ontario, Doug Ford pada Sabtu bertindak balas terhadap langkah provokasi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan memasang papan tanda gergasi di tebing Kanada yang tertera mesej: 'Tasik Ontario. Kini dan Selamanya.'
Perang retorik itu tercetus beberapa hari selepas pemimpin Republikan itu menandatangani perintah eksekutif untuk mengubah nama kepada Tasik Amerika, malah beliau turut berkongsi video hasil janaan teknologi kecerdasan buatan (AI) mengenai tasik itu yang merentasi kedua-dua negara.
Iklan
Iklan
Langkah itu menyusul selepas Ottawa berdepan perang tarif, ancaman Washington untuk menjadikannya negeri ke-51 AS dan rentetan serangan peribadi terhadap pemimpin negara tersebut.
Trump mendakwa perintah itu berkuat kuasa serta-merta. Walaupun beliau mempunyai kuasa untuk menentukan pengiktirafan nama mercu tanda di AS, negara lain tidak terikat untuk mengikutinya. Pegawai Kanada turut menolak langkah tersebut.
Perintah eksekutif Trump memberikan tempoh 30 hari kepada Jabatan Dalam Negeri untuk mengemas kini pertukaran nama tersebut dalam pangkalan data rasmi nama geografi domestik AS.
Ketika kembali ke Rumah Putih pada 2025, beliau turut menandatangani perintah serupa yang menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika.
Mexico bagaimanapun menolak langkah itu dengan alasan sesebuah negara tidak boleh menamakan semula kawasan perairan antarabangsa yang dikongsi dengan negara lain. - Agensi