MOSCOW – Amaran Presiden Rusia, Vladimir Putin bahawa negaranya bersedia berperang dengan Eropah mencetuskan persoalan lebih besar: sejauh mana benua itu mampu mempertahankan diri tanpa bergantung kepada Amerika Syarikat (AS)?
Putin pada Khamis menyatakan Moscow tidak mahu konflik dengan Eropah, namun bersedia menghadapinya sekiranya tercetus, sambil memberi amaran perang besar tidak akan menghasilkan pemenang.
Kenyataan itu muncul ketika peperangan Rusia-Ukraine berlarutan dan negara Eropah meningkatkan perbelanjaan pertahanan, selain mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Kremlin.
Penganalisis keselamatan antarabangsa, Tsiporah Fried melihat mesej Putin sebagai strategi tekanan psikologi untuk mempengaruhi keputusan politik Eropah, bukannya bukti bahawa serangan terhadap Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sudah dirancang.
Menurutnya, Moscow mahu meyakinkan pemimpin Eropah bahawa tindakan memperkukuh pertahanan atau membantu Ukraine boleh meningkatkan risiko pertembungan ketenteraan.
Dalam analisis diterbitkan Institut Hudson pada Isnin, Fried menjelaskan Rusia menggabungkan ancaman ketenteraan, serangan siber, sabotaj, tekanan ekonomi dan diplomasi bagi mengekalkan pengaruh terhadap lawannya.
Cabaran terbesar Eropah, katanya, bukan sekadar jumlah peruntukan pertahanan, tetapi keupayaan menghasilkan peluru, menyediakan sistem pertahanan udara dan mengekalkan bekalan ketika perang berpanjangan.
Walaupun banyak negara Eropah memiliki persenjataan canggih, kekurangan stok peluru, sistem logistik dan anggota simpanan boleh menjejaskan daya tahan mereka.
Industri pertahanan Eropah juga mengambil masa panjang untuk memenuhi keperluan tentera, sedangkan Rusia telah menyusun sebahagian ekonominya bagi menyokong operasi perang.
Eropah bergantung pada AS
Lebih membimbangkan, keupayaan keselamatan Eropah masih banyak bergantung kepada AS untuk risikan, sistem arahan, pertahanan peluru berpandu dan sokongan operasi.
Ketidaktentuan dasar Washington di bawah Presiden Donald Trump sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kekuatan jaminan keselamatan Amerika pada masa depan.
Pada masa sama, pendekatan diplomatik negara Eropah terhadap Rusia tidak sepenuhnya sehaluan.
Presiden Finland, Alexander Stubb dan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre menghubungi Putin pada 27 Oktober bagi membincangkan usaha menamatkan perang Ukraine.
Kedua-duanya menegaskan perbincangan itu dibuat atas kapasiti negara masing-masing, bukannya mewakili seluruh Eropah.
Perbezaan pendekatan antara dialog dan tekanan ketenteraan memberi ruang kepada Moscow menguji kesepakatan sekutu Barat, menurut penilaian Fried.
Namun, beliau mengingatkan persediaan perang tidak boleh tertumpu kepada angkatan tentera semata-mata.
Bekalan makanan, tenaga, komunikasi, pengangkutan serta keupayaan orang awam menghadapi krisis turut menentukan ketahanan negara jika konflik merebak.
Keperluan itu mendesak kerana peperangan moden bukan hanya berlaku di medan tempur. Gangguan terhadap rangkaian elektrik, sistem perbankan atau penghantaran barangan boleh melumpuhkan kehidupan harian tanpa serangan darat secara langsung.
Dalam keadaan tersebut, kemampuan Eropah menyelaras tindak balas bersama NATO menjadi penentu sama ada amaran Moscow kekal sebagai retorik atau berkembang menjadi krisis keselamatan serius.
Hakikatnya, ancaman Putin menonjolkan dilema Eropah: memperkukuh pertahanan tanpa mencetuskan salah perhitungan, sambil memastikan Moscow tidak menganggap kelemahan atau perpecahan sekutu sebagai peluang meningkatkan tekanan. - Agensi