Amanah Johor persoal Pas, tiada tindakan terhadap Sanusi

Iklan
Aminolhuda

JOHOR BAHRU - Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mempersoalkan pendirian Pas yang didakwa tidak mengambil tindakan berhubung kenyataan kontroversi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, teguran perlu diberikan apabila seseorang pemimpin melampaui batas dalam pertuturan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu penting sekiranya Pas mahu dilihat sebagai parti yang membawa nilai dan prinsip Islam.

“Budaya mencaci, memaki dan mencetuskan kontroversi bukanlah ukuran keberanian seorang pemimpin, sebaliknya pemimpin perlu mampu membezakan pandangan dengan hujah, fakta serta adab tanpa menghasut.

Iklan

“Justeru, Amanah Johor menyeru seluruh pemimpin politik supaya mengembalikan politik negara kepada budaya yang lebih matang dan berakhlak,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Aminolhuda yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor berkata, rakyat tidak memerlukan pemimpin yang berlumba-lumba mengeluarkan kata kesat, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang mampu menyatukan masyarakat dan menyelesaikan permasalahan rakyat.

Iklan

Katanya, pemimpin politik perlu bertanggungjawab dan memberikan contoh terbaik kepada masyarakat.

“Kritikan terhadap kerajaan boleh dilakukan dengan tegas, namun garis batas adab, kesopanan dan penghormatan terhadap sesama manusia tidak seharusnya diketepikan hanya kerana perbezaan fahaman politik,” katanya.

Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan yang membatalkan tindakan negeri berkenaan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan.

Kerajaan negeri turut diperintahkan membayar kos RM50,000 selepas panel tiga hakim memutuskan kerajaan Kedah gagal memenuhi ambang yang diperlukan untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Susulan keputusan itu, Muhammad Sanusi didakwa menyalahkan Perdana Menteri berhubung keputusan mahkamah berkaitan lesen premis perjudian di negeri berkenaan.

Sehubungan itu, Amanah Johor menzahirkan kekecewaan terhadap kenyataan Muhammad Sanusi itu yang menggunakan bahasa kesat dan makian terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Amanah Johor berpandangan bahawa tindakan sedemikian langsung tidak mencerminkan akhlak dan adab yang sewajarnya dimiliki oleh seorang pemimpin, lebih-lebih lagi apabila beliau daripada sebuah parti yang membawa identiti Islam,” katanya.