[VIDEO] Akhbar 69 tahun catat sejarah kemerdekaan masih disimpan, pernah ditawar RM20,000

Iklan

PASIR MAS - Naskhah akhbar lama berusia 69 tahun yang merekodkan detik bersejarah pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957 masih disimpan rapi sebuah keluarga di Kampung Kekabu, Lemal di sini, meskipun pernah ditawar RM20,000 beberapa tahun lalu.

Anak sulung Noorulhuda, Muhammad Nabil Asyraf, 20, menunjukkan akhbar lama berusia 69 tahun yang merekodkan detik bersejarah pengisytiharan kemerdekaan negara pada 1957.

Iklan
Iklan

Naskhah The Sunday Times bertarikh 1 September 1957, iaitu sehari selepas pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu, kini berada dalam simpanan Noorulhuda Ibrahim, 44, selepas suaminya, Mohd Tarmizi Ismail meninggal dunia akibat sakit buah pinggang pada Ogos 2023.

Naskhah berkenaan mempunyai 32 muka surat lengkap dengan halaman hadapan memaparkan gambar pengisytiharan kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dengan tajuk"THIS IS IT!”

Iklan

Menurut Noorulhuda, suaminya sebelum ini tidak bersetuju menjual naskhah berkenaan kerana menganggapnya sebagai khazanah sejarah yang mempunyai nilai tersendiri.

"Arwah pernah ditawarkan RM20,000 oleh seorang lelaki yang datang melihat akhbar ini beberapa tahun lalu, tetapi dia tidak mahu menjualnya kerana percaya nilainya lebih tinggi," katanya ketika ditemui pada Ahad.

Iklan

Noorulhuda berkata, selepas pemergian suaminya, naskhah berkenaan masih dijaga dan disimpan dengan baik.

Katanya, setakat ini tiada pihak tampil bertanya atau menunjukkan minat untuk mendapatkan naskhah akhbar yang sudah berusia hampir tujuh dekad itu.

"Kalau ada pihak yang berminat, bolehlah datang dan berbincang dengan saya.

"Jika ada yang menawarkan harga yang sesuai, saya terbuka untuk mempertimbangkannya. Duit itu nanti boleh digunakan untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak," katanya.

Naskhah tersebut masih disimpan dengan baik kerana ia mempunyai nilai sejarah yang tidak ternilai.

Noorulhuda yang juga kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berkata, beliau dan arwah suaminya dikurniakan lapan anak berusia antara sembilan hingga 20 tahun, terdiri daripada empat lelaki dan empat perempuan, dengan tujuh daripadanya masih bersekolah.

Menurutnya, naskhah bersejarah itu ditemui suaminya ketika melakukan kerja-kerja merombak rumah pusaka milik arwah ibu bapanya selepas kejadian banjir besar pada 2014.

"Arwah jumpa akhbar ini bersama sebilah keris pusaka dalam keadaan masih baik.

"Pada awalnya dia sendiri tidak tahu mengenai kewujudan akhbar ini kerana tidak pernah diberitahu oleh arwah bapanya," katanya.

Tambahnya, bapa suaminya, Ismail Salleh yang meninggal dunia pada 1998, merupakan peniaga kedai runcit.

Noorulhuda berkata, naskhah berkenaan mengandungi 32 muka surat lengkap dengan halaman hadapan yang memaparkan gambar pengisytiharan kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dengan tajuk, “THIS IS IT!”

"Akhbar itu turut mencatatkan ia dicetak dan dikeluarkan oleh The Straits Times Ltd Cecil Street Singapore dan 111 Pudu Road Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, keluarganya masih menyimpan naskhah tersebut dengan sebaik mungkin kerana menyedari ia mempunyai nilai sejarah yang tidak ternilai.

"Kami tidak mahu ia rosak kerana ini adalah peninggalan arwah dan satu khazanah sejarah.

"Kalau ada pengumpul barangan antik atau pihak yang benar-benar berminat, mereka boleh datang melihat sendiri naskhah ini," katanya.