SUBANG JAYA - Polis menyiasat corak Jalur Gemilang tidak lengkap pada tudung yang dijual di sebuah pasar raya di sini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan diterima pihaknya jam 4.49 petang pada Sabtu susulan tular video isu terbabit.
Iklan
Iklan
Menurutnya, siasatan awal mendapati hanya sebahagian tudung sahaja tidak mempunyai corak Jalur Gemilang yang tidak lengkap diterima daripada pihak pembekal.
"Susulan penularan video itu, polis telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 iaitu penggunaan Jalur Gemilang yang tidak mencukupi sifat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.
Tegas Wan Azlan, sehubungan itu pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang untuk polis menjalankan siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 dan segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," ujarnya.