Banjir: 55 rakyat Malaysia di Nepal, 36 di China masih belum dapat dihubungi - Wisma Putra

Iklan
Wisma Putra memaklumkan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan di China dan Nepal

KUALA LUMPUR - Seramai 91 rakyat Malaysia terdiri daripada 55 individu di Nepal dan 36 di China, dilaporkan masih belum dapat dihubungi setakat jam 8 malam pada Sabtu susulan banjir yang melanda pada 26 Ogos, menurut Kementerian Luar.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan di China dan Nepal di samping menyemak silang maklumat dari kedua-dua negara bagi mengenal pasti sebarang pertindihan dalam laporan yang diterima.

Iklan
Iklan

Wisma Putra turut menggesa media serta orang ramai untuk merujuk kepada angka rasmi yang dikeluarkan oleh kementerian dalam laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat situasi di Nepal dan China.

Menurut kementerian itu, angka berkenaan boleh berubah apabila hubungan berjaya diwujudkan dengan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi, serta apabila maklumat lanjut diterima daripada pihak berkuasa dan ahli keluarga.

Iklan

Kementerian itu memaklumkan selaras dengan prosedur konsular yang ditetapkan, perkembangan mengenai kes individu disalurkan secara terus kepada waris terdekat yang telah disahkan.

Pegawai konsular telah menghubungi waris terdekat yang telah dikenal pasti berdasarkan maklumat yang tersedia bagi menyampaikan perkembangan terkini.

Iklan

Menurut Wisma Putra, maklumat peribadi tidak akan didedahkan kepada umum tanpa kebenaran waris terdekat.

"Kementerian menghargai keprihatinan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan, sanak saudara dan masyarakat terhadap rakyat Malaysia yang terjejas. Pada masa yang sama, kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia yang dilaporkan masih belum dapat dihubungi, serta ahli keluarga terdekat mereka, kekal menjadi keutamaan Kementerian.

"Sehubungan itu, semua pihak dimohon untuk menghormati privasi keluarga yang terjejas dan merujuk kepada maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian sementara usaha konsular diteruskan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar turut meminta ahli keluarga terdekat yang masih belum menyalurkan maklumat berkaitan supaya menghubungi Bilik Operasi Kementerian yang beroperasi 24 jam sehari bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas serta ahli keluarga mereka menerusi talian +603 8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

Ahli keluarga juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menerusi e-mel mwkathmandu@kln.gov.my atau Kedutaan Besar Malaysia di Beijing menerusi e-mel mwbeijing@kln.gov.my, dengan salinan kepada Bilik Operasi Kementerian. - Bernama