RANTAU PANJANG - Di tingkat atas sebuah premis makanan Siam di Bangkok, Thailand, seorang remaja berusia 14 tahun belajar menjalani kehidupan tanpa ibu dan ayah di sisi.
Ahmad Nor Iman Aliff Rakib atau Aliff Rakib ketika itu perlu membasuh pakaian, mencari makan dan mengurus sendiri keperluan hariannya walaupun tidak menguasai bahasa Thai.
Jika perlu wang atau keperluan lain, dia hanya mampu menghubungi keluarganya di Rantau Panjang, Kelantan yang akan memasukkan RM200 atau RM300 setiap dua hari.
Di sebalik latihan keras muay thai, perkara paling sukar untuk Aliff Rakib sebenarnya ialah menahan rindu sehingga berkali-kali menangis dan mahu pulang.
Namun bapanya, Rakib Ahmad, 52, tidak mahu anaknya menyerah kerana percaya pengorbanan itu suatu hari nanti akan membawa hasil.
"Bila seorang diri memang rasa susah. Banyak kali menangis sebab rindu. Sebelum ini saya tak pernah duduk seorang diri, jadi memang terasa.
"Ketika itu saya rasa jauh dengan keluarga dan selalu rasa nak balik. Tetapi saya takut kepada ayah dan mahu buat dia bangga. Saya nekad mahu buktikan boleh berjaya dalam muay thai," katanya kepada Sinar Ahad.
Lapan tahun kemudian, segala penat jerih itu bertukar menjadi senyuman apabila Aliff Rakib, 22, dinobatkan sebagai Juara Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship sekali gus menjulang nama Kelantan dan Malaysia ke pentas dunia.
Lebih manis, hasil perjuangannya membolehkan dia membeli sebuah rumah baharu bernilai RM1 juta di Gual Tinggi untuk dihadiahkan kepada kedua ibu bapanya, Rakib dan Suriawati Che Wook, 46.
Di sebalik kejayaan itu tersimpan perjalanan panjang anak kedua daripada empat beradik yang mula mengenali gelanggang ketika baru berusia enam tahun selepas mengikuti abangnya berlatih.
"Saya mula kenal muay thai ketika usia enam tahun. Saya ikut abang berlatih. Bila abang bertumbuk, saya pun nak ikut. Ketika itu umur enam tahun saya sudah naik ring.
"Saya pernah mengalah ketika Covid-19 dan rasa nak berhenti. Tetapi ayah tidak benarkan dan minta saya bertahan. Saya cuba lagi dan cuba lagi sampai akhirnya berada di tahap hari ini," katanya.
Menurut Aliff Rakib, pengalaman hidup sendirian di Bangkok menjadikannya lebih matang dan mengajar erti pengorbanan sebelum mengecap kejayaan
Dia mahu membuktikan kepada generasi muda bahawa muay thai bukan sekadar sukan pertarungan, sebaliknya mampu menjadi lubuk rezeki jika disertai disiplin dan kesungguhan.
"Saya bangga sangat sebab dulu tiada orang kenal saya, tiada orang tengok. Sekarang ramai sudah kenal.
"Saya mahu tunjuk sukan ini pun boleh berjaya dan anak muda Malaysia juga boleh pergi jauh," ujarnya yang bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat bersama gadis dari Thailand.
Gelaran juara interim bagaimanapun belum membuatkan Aliff Rakib berpuas hati apabila sasaran seterusnya ialah menjadi juara dunia mutlak.
Menurutnya, jika diberi peluang, dia juga mahu membawa pertarungan besar itu pulang ke Malaysia.
"Saya mahu kalahkan pencabar-pencabar dan jadi juara sebenar. Kalau boleh, perlawanan seterusnya akan dibuat di Malaysia.
"Kalau berlawan di Malaysia, penat saya bertahun-tahun akan terbalas sedikit sebab kita tuan rumah dan penyokong ramai," katanya.
Sementara itu, Rakib yang merupakan bekas peninju Malaysia dan pernah mewakili negara dalam Sukan Komanwel, Sukan SEA serta Sukan Malaysia (Sukma) berkata, keputusan menghantar anaknya ke Bangkok pada usia muda bukan mudah.
"Dari kecil lagi Aliff Rakib sudah nampak Muay Thai sebagai sesuatu yang dia mahu buat. Sebab itu apabila umur 14 tahun, kami hantar dia ke Bangkok untuk belajar dan berlatih dengan lebih serius.
"Pada waktu itu berat untuk kami lepaskan dia ke sana seorang diri, namun demi masa depannya itulah yang terbaik," katanya.
Menurut Rakib, pengorbanan keluarga bukan hanya melepaskan anak mereka hidup sendirian di negara asing, malah turut melibatkan kos tinggi.
Katanya, untuk mendapatkan lawan sesuai, keluarga ada kalanya perlu bergerak lapan hingga 10 jam ke lokasi lain di Thailand dengan kos sekitar RM2,000 hingga RM3,000 bagi satu pertandingan.
"Sekali perjalanan boleh habis ribuan ringgit termasuk perjalanan dan hotel, sedangkan bayaran selepas berlawan kadang-kadang hanya 1,000 hingga 2,000 baht. Tetapi dia terlalu minat," katanya.
Menurut Rakib, semua kos itu ditanggung hasil perniagaan keluarga tanpa sokongan penaja besar.