[VIDEO] Banjir Nepal: Keluarga rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi gesa saluran komunikasi khas

Iklan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Keluarga rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan tragedi banjir kilat di kawasan sempadan Nepal-Tibet merayu kerajaan mewujudkan saluran komunikasi khas bagi memastikan perkembangan terkini disampaikan secara terus, konsisten dan telus.

Wakil keluarga rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi, Ts Dr Manivannan Rethinam berkata, lebih 72 jam selepas tragedi itu berlaku, keluarga yang menunggu berita mengenai insan tersayang masih berdepan ketidakpastian dan tekanan emosi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, setiap jam yang berlalu tanpa maklumat yang boleh dipercayai meningkatkan kebimbangan, penderitaan dan tekanan emosi yang dialami keluarga.

"Kami memahami bencana ini mewujudkan keadaan yang amat mencabar kepada pihak berkuasa dan agensi penyelamat.

Iklan

"Namun, dalam krisis sebesar ini, komunikasi yang tepat pada masanya, konsisten dan telus juga amat penting," katanya ketika sidang akhbar Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), di sini pada Sabtu.

Sebahagian dari pada ahli keluarga yang terbabit dalam tragedi banjir di Nepal hadir ketika sidang akhbar Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) pada Sabtu.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan tiada rakyat Malaysia dalam senarai 771 orang yang telah diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Rasuwa, Nepal, berikutan bencana banjir yang melanda kawasan itu, setakat Jumaat.

Menurut kenyataan Wisma Putra pada Sabtu, 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi, manakala dua lagi telah berjaya dihubungi.

Tambah Wisma Putra, Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya telah beroperasi 24 jam sejak 27 Ogos 2026 bagi menyelaras maklumat dan membantu rakyat Malaysia di kawasan terjejas serta ahli keluarga mereka.

Kementerian dalam kenyataan sama turut memaklumkan 72 rakyat Malaysia di Darchen, Tibet, China, telah disahkan selamat dan berada dalam keadaan sihat.

Menurutnya, maklumat rasmi yang diberikan secara berkala dapat membantu keluarga memahami perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR), selain mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.

Sehubungan itu, MASFIH menggesa Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Nepal dan Kedutaan Malaysia di Beijing, China supaya menyediakan kemas kini rasmi kepada keluarga setiap hari.

Mereka turut membawa foto ahli keluarga yang masih terputus hubungan dalam tragedi banjir di Nepal ketika ke sidang akhbar Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) pada Sabtu.

Katanya, kemas kini berkenaan perlu merangkumi status rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi, kawasan pencarian, perkembangan daripada pihak berkuasa Nepal dan China serta bilangan individu yang telah ditemui, diselamatkan atau dikenal pasti keberadaan mereka.

"Walaupun kemas kini yang diberikan hanya menyatakan bahawa tiada maklumat baharu yang telah disahkan, perkara itu tetap dapat memberikan ketenangan kepada keluarga bahawa perkara ini sedang dipantau dan diusahakan secara aktif," katanya.

Dalam pada itu, MASFIH turut menggesa supaya seorang pegawai perhubungan khas dilantik bagi berkomunikasi secara langsung dengan tiga wakil pertubuhan tersebut.

Manivannan berkata, langkah itu penting kerana kira-kira 90 peratus daripada rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang diwakili MASFIH.

"Satu saluran komunikasi berpusat akan membolehkan maklumat rasmi disampaikan dengan cepat dan konsisten kepada semua keluarga yang terjejas.

"Perkara ini juga berupaya mengurangkan beban anggota keluarga yang terpaksa berulang kali menghubungi agensi berbeza untuk mendapatkan maklumat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklum balas daripada beberapa anggota keluarga yang mengalami kesukaran menghubungi atau mendapatkan maklum balas daripada Kedutaan Malaysia di Kathmandu sejak dua hari lalu.

Bagaimanapun, katanya, permintaan itu bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan struktur komunikasi lebih berkesan dapat diwujudkan dalam menghadapi krisis kemanusiaan berkenaan.

"Keluarga bukan mencari konfrontasi, sebaliknya kami mencari jawapan, penyelarasan dan tindakan.

"Di sebalik setiap nama dalam senarai orang hilang, terdapat sebuah keluarga yang sedang menunggu seseorang pulang ke rumah," katanya.

MASFIH turut memohon kerajaan mendapatkan maklumat secara langsung daripada pihak berkuasa China berhubung keadaan di sebelah Tibet, termasuk status operasi SAR, mangsa yang terselamat, korban serta kemungkinan rakyat Malaysia ditemui di kawasan berkenaan.

Menurut MASFIH, keluarga pada masa ini menerima lebih banyak maklumat mengenai perkembangan di sebelah Nepal, manakala maklumat secara langsung dari sebelah Tibet atau China masih terhad.

MASFIH berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan Wisma Putra, kedutaan Malaysia, pihak berkuasa Nepal dan China serta agensi SAR berkaitan bagi memudah cara perkongsian dan pengesahan maklumat.