72 rakyat Malaysia terkandas di Tibet disahkan selamat

Iklan
Pandangan udara menunjukkan rumah-rumah yang ditenggelami lumpur susulan banjir kilat di kawasan pertemuan Sungai Trishuli dan Sungai Tadi di daerah Nuwakot, Nepal. FOTO: AFP

SHAH ALAM - Seramai 72 rakyat Malaysia yang terkandas di Tibet, China, akibat gangguan perjalanan susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal, disahkan berada dalam selamat dan sihat.

Kementerian Luar (KLN) memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sedang berhubung dengan mereka yang kini berada di Darchen dan ahli keluarga turut mengetahui keadaan mereka.

Iklan
Iklan

"Kedutaan Besar sedang memberikan bantuan konsular, termasuk membantu urusan perjalanan mereka untuk meninggalkan Tibet," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada masa sama, Kementerian Luar turut menerima maklumat daripada pihak berkuasa China dan ahli keluarga mengenai 36 rakyat Malaysia yang kini dilaporkan masih belum dapat dihubungi di kawasan yang mengalami gangguan telekomunikasi.

Iklan

Menurutnya, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa China dan ahli keluarga untuk menghubungi individu berkenaan.

"Maklumat yang diterima turut disemak dengan laporan mengenai rakyat Malaysia di Nepal bagi mengenal pasti sebarang pertindihan, sementara proses pengesahan diteruskan," katanya.

Iklan

Sementara itu, 55 rakyat Malaysia di Nepal masih dilaporkan belum dapat dihubungi, manakala dua rakyat yang sebelum ini gagal dihubungi, kini berjaya dihubungi.

Kementerian memaklumkan, pengesahan mengenai mereka yang masih belum dapat dihubungi sedang diteruskan.

"Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu terus bekerjasama dengan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Kementerian Luar Nepal, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan dan pihak berkuasa tempatan berkaitan bagi mendapatkan kepastian mengenai keselamatan serta keberadaan mereka.

"Operasi mencari dan menyelamat di Nepal masih diteruskan," menurutnya.

Kementerian Luar memaklumkan, pihak berkuasa turut memantau risiko peningkatan aliran air dari Tibet dan setakat jam 5 petang semalam, waktu Nepal (7.15 malam waktu Malaysia), National Disaster Risk Reduction and Management Authority of Nepal melaporkan 771 orang diselamatkan, termasuk 116 warganegara asing.

Berdasarkan senarai rasmi yang tersedia pada peringkat ini, kementerian menjelaskan, tiada rakyat Malaysia dikenal pasti dalam kalangan warganegara asing yang diselamatkan.

"Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya beroperasi 24 jam sejak 27 Ogos lalu bagi menyelaras maklumat dan membantu rakyat Malaysia di kawasan terjejas serta ahli keluarga mereka.

"Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi kementerian melalui talian +603 8887 4570 dan emel dutyofficer@kln.gov.my," katanya.

Kementerian juga menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang belum disahkan, sementara usaha untuk mendapatkan kepastian mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia yang terbabit masih diteruskan.

"Kementerian akan terus memberikan perkembangan terkini berdasarkan maklumat yang disahkan melalui saluran rasmi," ujarnya.