IPOH - Hon berbunyi, tangan melambai dan dari jauh kelihatan sebuah Perodua Kembara sarat Jalur Gemilang menyusur masuk ke kawasan perumahan.
Itulah ‘kereta Merdeka’ milik G Rajiswari, 64, yang saban tahun menceriakan bandar raya Ipoh khususnya penduduk Buntong dengan semangat patriotik luar biasa.
Lebih mesra disapa Ratha, wanita warga emas itu bukan sekadar menghias kenderaannya, malah menjadi ‘pembawa Merdeka’ apabila kehadirannya sentiasa dinanti penduduk setempat, terutama kanak-kanak.
Sejak 2017 lagi Ratha mula mencuri perhatian ramai apabila menghias sendiri Perodua Kembara miliknya dengan puluhan Jalur Gemilang pelbagai saiz, dari bumbung hingga ke pintu.
Kenderaan terpakai yang dibeli secara tunai pada harga RM8,000 itu menjadi simbol kecintaannya terhadap negara, selain medium untuk berkongsi kegembiraan bersama masyarakat.
Bekas tukang masak di Lost World of Tambun itu berkata, minat terhadap sambutan kemerdekaan telah dipupuk sejak kecil apabila sering dibawa bapanya menghadiri acara berkenaan di Dataran Ipoh.
"Dari situ saya mula suka tengok bendera, suasana Merdeka... sampai sekarang rasa itu tak pernah hilang," katanya.
Dalam kesederhanaan hidup, Ratha mengakui pernah berkorban demi memastikan tradisi mengagihkan Jalur Gemilang diteruskan setiap tahun.
Beliau sanggup berjimat cermat dan pernah membelanjakan sehingga RM2,000 setahun bagi membeli bendera untuk diberikan secara percuma kepada orang ramai.
"Kadang-kadang satu malam pun boleh habis RM1,000 bila ramai datang ambil. Tapi saya tak kisah, saya suka tengok orang happy," katanya.
Menurutnya, bukan sahaja kanak-kanak, malah warga emas pelbagai kaum turut teruja setiap kali melihat ‘kereta merdeka’ miliknya.
"Ada budak belum mandi pun pakai tuala, cepat-cepat datang. Nenek Cina, India semua pun ambil bendera,” katanya.
Lebih menarik, Ratha turut memasang pelbagai lagu patriotik dan lagu perayaan pada kenderaannya sepanjang tahun sebagai simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Katanya, lagu-lagu tersebut akan ditukar mengikut musim perayaan sebelum kembali memeriahkan bulan kemerdekaan bermula Julai hingga pertengahan September.
"Bagi saya Merdeka ini keamanan dan keselamatan. Semua bangsa boleh hidup bersama, pergi mana-mana pun rasa bebas dan selamat," jelasnya.
Ibu kepada tiga anak itu yang juga orang kurang upaya (OKU) akibat kecederaan patah kaki bagaimanapun tidak menjadikan kekangan kesihatan sebagai alasan untuk berhenti menyebarkan semangat patriotik.
Sebaliknya, beliau tetap memenuhi jemputan kenalan dan bergerak ke beberapa lokasi hanya untuk mengagihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai.
"Mana saya pergi pun orang kenal. Semua tahu ini kereta Merdeka,” katanya.
Menurut Ratha, gelaran ‘Ikon Merdeka’ yang diberikan masyarakat bukan sesuatu yang dikejar, sebaliknya lahir daripada keikhlasan hatinya mencintai negara.
"Saya memang sayang Malaysia. Ini negeri saya lahir, ini juga tempat saya akan mati. I love Malaysia," katanya.
Selain kenderaan, semangat patriotik Ratha turut jelas terpancar di kediamannya apabila hampir setiap sudut rumahnya dihiasi Jalur Gemilang.
Dari tangga, pintu masuk hingga ke dinding rumah, semuanya sarat dengan kibaran bendera sebagai lambang cintanya terhadap negara.
Malah, suasana itu berterusan hingga ke dalam rumah termasuk bilik tidur yang turut dihiasi Jalur Gemilang, menjadikan kediamannya seolah-olah ‘mini galeri Merdeka’ yang sentiasa meriah sepanjang tahun.