LAGU patriotik 'Kita Warga Malaysia' membawa pendekatan baharu dalam menyampaikan mesej perpaduan menerusi muzik dan seni kreatif, dengan mengetengahkan semangat kebersamaan rakyat pelbagai latar belakang sempena Bulan Kebangsaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, karya itu bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kerana mengangkat nilai patriotisme serta keharmonian masyarakat majmuk.
Menurutnya, kandungan kreatif mempunyai peranan besar dalam membina pemikiran masyarakat kerana mampu menyatukan rakyat melalui mesej yang mudah diterima tanpa mengira perbezaan budaya dan bahasa.
“Sebagai pencipta kandungan di Malaysia, mereka mempunyai tanggungjawab menyampaikan mesej positif terutama berkaitan perpaduan pada masa sekarang.
Azmir berkata, FINAS menyokong usaha berkenaan sebagai satu inisiatif masyarakat yang menggunakan platform seni untuk menyebarkan semangat cintakan negara, tanpa terlibat dalam pemilihan karya tersebut.
“Usaha seperti itu perlu digalakkan kerana menunjukkan bagaimana rakyat biasa, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti boleh berganding bahu menghasilkan karya yang membawa semangat cintakan negara,” katanya.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Warga Malaysia 2026 yang mengiktiraf 10 kategori melibatkan individu daripada pelbagai bidang atas sumbangan serta pencapaian mereka kepada masyarakat.
Sementara itu, pencipta lagu Kita Warga Malaysia, Dr Lee Tuck Wah berkata, penghasilan karya berkenaan mengambil masa hampir dua tahun sebelum disiapkan sepenuhnya.
Beliau berkata, idea lagu itu bermula daripada melodi yang dirakam secara spontan menggunakan telefon sebelum disusun secara berperingkat walaupun beliau tidak mempunyai latar belakang formal dalam muzik.
“Saya mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk mendapatkan struktur lagu yang sempurna. Apabila lagu ini didengari Tan Sri Jojo (Presiden Yayasan Datuk Malaysia, Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir), beliau memberi sokongan supaya saya meneruskannya.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa kita perlu memberi sumbangan kepada tanah air dan membawa nama Malaysia ke mata dunia,” katanya.
Menurut Tuck Wah, inspirasi menghasilkan lagu itu turut dipengaruhi kejayaan atlet negara seperti Datuk Rashid Sidek, Datuk Cheah Soon Kit dan Datuk Lee Chong Wei yang membuktikan kemampuan rakyat Malaysia di pentas antarabangsa.
Katanya, lirik dan melodi karya berkenaan dihasilkan sendiri sebelum menerima sentuhan susunan muzik daripada rakan-rakan Fakulti Muzik Universiti Sunway serta penglibatan penyanyi daripada pelbagai kaum termasuk wakil Sabah dan Sarawak.
Lagu 'Kita Warga Malaysia' turut menyelitkan lima prinsip Rukun Negara sebagai asas mesej perpaduan dengan gabungan elemen muzik, filem, pendidikan dan seni.
Video muzik berkenaan akan ditayangkan menerusi saluran YouTube Kita Warga Malaysia pada 30 Ogos 2026 jam 8.31 malam sebagai simbol ajakan kepada seluruh rakyat untuk bersama-sama menghayati semangat perpaduan.