Wawasan Johor serah 22 watikah pelantikan kepada ketua bahagian penaja

Iklan
Antara Ketua Bahagian Penaja Wawasan Johor yang menerima watikah pelantikan.

JOHOR BAHRU - Sebanyak 22 daripada 26 Ketua Bahagian (Penaja) Parti Wawasan Negara (Wawasan) Johor telah menerima watikah pelantikan masing-masing setakat ini.

Penyelarasnya, Datuk Zulkifli Bujang berkata, baki empat bahagian lagi kini berada pada peringkat penilaian akhir.

Iklan
Iklan

Menurutnya, watikah pelantikan dijangka diserahkan kepada mereka dalam masa terdekat selepas proses penelitian diselesaikan bagi memastikan individu yang dipilih mempunyai kesediaan, kewibawaan dan keupayaan untuk membina organisasi yang kukuh di kawasan masing-masing.

“Ini merupakan permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar untuk memperluas keahlian, membentuk cawangan, memperkemas jentera dan mendekati masyarakat secara berterusan.

Iklan

“Selaras dengan ketetapan parti, setiap bahagian akan digerakkan untuk mencapai sasaran minimum 1,000 ahli serta menubuhkan cawangan berdasarkan jumlah PDM di kawasan Parlimen masing-masing,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, pelaksanaan ini penting bagi membentuk organisasi yang tersusun, inklusif dan benar-benar bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16, (PRU-16) nanti.

Iklan

“Johor mahu memastikan kekuatan parti tidak hanya kelihatan pada struktur kepimpinan tetapi dapat dibuktikan melalui sokongan akar umbi, khidmat kepada masyarakat dan keupayaan memahami serta memperjuangkan isu rakyat,” ulasnya.

Sehubungan itu, beliau mempelawa seluruh Bangsa Johor yang berminat untuk mengenali Wawasan dengan lebih dekat agar menghubungi Ketua-Ketua Bahagian (Penaja) di kawasan masing-masing.

Katanya, pintu Wawasan sentiasa terbuka kepada rakyat pelbagai kaum, agama, latar belakang profesional dan lapisan masyarakat yang mahu bersama-sama membina sebuah negara lebih harmoni serta bersatu dalam sebuah konsensus nasional.

“Wawasan Johor akan terus bekerja secara tersusun bagi memastikan setiap bahagian berfungsi sebagai pusat gerak kerja rakyat, bukan sekadar organisasi yang diwujudkan untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.