Kontraktor Melayu perlu tingkat kapasiti, jangan hanya tunggu projek datang

Iklan
Mohd Shahar (dua dari kiri) menyampaikan plak penghargaan kepada kontraktor di Kelantan.

KOTA BHARU - Kontraktor Melayu perlu meningkatkan kapasiti dan keupayaan supaya mampu merebut peluang ekonomi yang terhasil daripada pelaksanaan pelbagai dasar dan projek kerajaan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, kontraktor tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah perniagaan tradisional sebaliknya perlu memahami hala tuju kerajaan yang digariskan menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Iklan
Iklan

Menurutnya, peluang ekonomi dan projek kerajaan tidak muncul secara tiba-tiba, sebaliknya terbentuk daripada dasar yang dirangka terlebih dahulu.

“Kontraktor Melayu mesti mempunyai pemahaman dari segi polisi dan baru mereka boleh merancang. Projek yang kerajaan akan buat di Terengganu, Kelantan dan negeri-negeri lain semuanya tercatat dalam RMK13.

Iklan

“Kalau tidak faham, mereka boleh bertemu dengan kementerian untuk mendapatkan penjelasan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Malam Mesra Kontraktor sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Kelantan kali ke-49 di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Iklan

Turut hadir, Presiden PKMM, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz. 

Mohd Shahar turut menggesa PKMM membantu ahlinya meningkatkan literasi polisi supaya mereka memahami perancangan kerajaan dan dapat membuat persediaan lebih awal.

Dalam pada itu, katanya, kontraktor juga perlu meningkatkan keupayaan  menguasai teknologi dan bersedia memasuki sektor ekonomi baharu.

"Perubahan ekonomi ketika ini memerlukan kontraktor menyesuaikan diri dengan keperluan industri masa hadapan dan projek berkaitan kelestarian serta teknologi.

“Kita tidak mahu kontraktor Melayu sekadar menambah bilangan, tetapi mahu kontraktor yang bukan sekadar naik gred tetapi naik kelas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, aspek pembiayaan juga perlu diberi perhatian kerana syarikat perlu mempunyai rekod kewangan, tenaga kerja dan pengurusan projek yang tersusun untuk membina kebolehbiayaan.

Mohd Shahar berkata, kontraktor Melayu juga perlu melihat peluang pembangunan di Pantai Timur secara lebih praktikal seperti sektor industri dan logistik yang bakal membuka ruang ekonomi baharu.

“Kapasiti yang akan menentukan siapa boleh mengambil peluang tersebut. Sebab itu bina kapasiti lebih awal,” katanya.