PAMPANGA - Seorang wanita yang pernah bekerja sebagai pekerja Filipina di luar negara (OFW) ditahan selepas didakwa melarikan bayi baru lahir dari sebuah hospital di Mabalacat City, Filipina.
Menurut laporan GMA News, wanita berkenaan dirakam keluar dari hospital pada 17 Ogos lalu sambil membawa sebuah beg mesra alam (ecobag) yang kemudiannya didapati mengandungi bayi terbabit.
Menurut laporan, pihak berkuasa yang menjalankan siasatan berjaya mengesan suspek di Magalang, Pampanga sebelum menyelamatkan bayi berkenaan.
Siasatan awal polis mendapati ibu bapa bayi berkenaan sedang tidur ketika suspek mengambil kesempatan membawa bayi itu tanpa kebenaran.
Seorang saksi dilaporkan melihat suspek mengambil bayi berkenaan, namun menyangka wanita itu adalah saudara kepada ibu bapa bayi terbabit.
Bayi itu dipercayai dibalut menggunakan kain sebelum dimasukkan ke dalam ecobag dan dibawa keluar dari hospital.
Ketua Balai Polis Mabalacat, Police Lt. Col. Jose Charlmar Gundaya berkata, suspek sebelum kejadian turut pergi ke bilik bayi berkenaan dan berbual dengan keluarga seolah-olah dia adalah saudara mereka.
Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita itu merupakan bekas OFW yang pernah kehilangan anak.
“Postpartum depression (kemurungan selepas bersalin). Disebabkan kemurungan akibat kehilangan anaknya, dia seolah-olah mahu menggantikan anaknya,” katanya seperti dipetik GMA News.
Pihak berkuasa kemudian berjaya mendapatkan semula bayi berkenaan daripada suspek dan menyerahkannya kepada keluarganya.
Suspek kini berdepan tindakan undang-undang, manakala suaminya turut disiasat bagi menentukan sama ada dia mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
Dalam masa sama, pihak berkuasa turut menyiasat kemungkinan berlaku kelemahan dari aspek keselamatan hospital sehingga membolehkan bayi berkenaan dibawa keluar tanpa disedari.