KUALA LUMPUR – UMNO menyerahkan kepada kepimpinan parti di peringkat negeri untuk mengadakan perbincangan dan perundingan dengan mana-mana parti politik yang mahu bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu antara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang berlangsung pada Jumaat.
"Ia menjurus kepada sentimen rakyat terutama orang Melayu yang mengharapkan penyatuan ummah dapat direalisasikan serta kepentingan dan kedudukan Melayu menjadi teras kepada kestabilan politik negara.
"Sebarang rundingan dengan mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama dalam pilihan raya akan datang mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan atau gertakan," katanya dalam sidang media di Menara Dato' Onn, pada Jumaat.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan memaklumkan, perbincangan mengenai jajaran politik baharu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dibincangkan dalam mesyuarat MKT, malam ini.
Beliau berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu akan membincangkan secara serius strategi terbaik bagi memastikan kemenangan BN pada PRN Melaka.
Sementara itu Asyraf Wajdi menegaskan, UMNO sentiasa menghormati prinsip kedaulatan undang-undang serta tidak akan berkompromi dalam mempertahankan sebarang salah laku, penyelewengan atau penyimpangan yang dilakukan ahli dan kepimpinan parti.
Malah menurut beliau, seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi belum dibicarakan dan disabitkan mengikut undang-undang.
"Sebarang tindakan untuk memalukan atau menghina seseorang, termasuk membentuk persepsi seolah-olah individu yang baru ditahan bagi tujuan siasatan telah pun bersalah, adalah bertentangan dengan prinsip keadilan, anggapan tidak bersalah serta semangat kedaulatan undang-undang," ujarnya.