Kumpul 5,000 belia sambut merdeka

Iklan
Semarak Maulid yang berlangsung sebelum ini akan diteruskan dengan program Hoora Hooray Merdeka sempena Sambutan Kemerdekaan Padang Rengas di Denai Kafe, JPS Kuala Kangsar pada Ahad ini.

PADANG RENGAS – Seramai 5,000 pengunjung khususnya belia dijangka hadir memeriahkan program Hoora Hooray Merdeka sempena Sambutan Kemerdekaan Padang Rengas di Denai Kafe, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Kangsar pada Ahad ini.

Program anjuran Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas (KOMRAT) dengan kerjasama Pertubuhan Generasi Penggerak Kebangsaan Perak (GENK Perak), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Denai Kafe itu berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 12.30 tengah malam.

Iklan
Iklan

Pegawai Penyelaras KOMRAT, Harith Razlan Razali berkata, penganjuran berkenaan menjadi kesinambungan usaha memperkukuh penglibatan belia dan komuniti setempat menerusi aktiviti kemasyarakatan, kekeluargaan, sukan serta patriotisme.

"Program ini turut meneruskan momentum Karnival Belia Madani Padang Rengas dan Program Semarak Maulid Peringkat Parlimen Padang Rengas yang dilaksanakan pada 25 Ogos lalu di Masjid At-Taufiqiah, Chuar Kati.

Iklan

"Pengisian komuniti perlu dilaksanakan secara berterusan dengan menyediakan ruang pelbagai kepada masyarakat, khususnya golongan belia, untuk berkumpul, berinteraksi dan mengambil bahagian dalam aktiviti yang membina," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, Hoora Hooray Merdeka menampilkan pelbagai aktiviti antaranya Fun Run Merdeka, konvoi membabitkan kira-kira 200 peserta serta edaran 500 Jalur Gemilang.

Iklan

Turut diadakan autoshow, kejohanan sepak takraw, pertandingan mewarna, Soopa Doopa Balloon Air, cabutan bertuah dan booth MCMC.

Program berkenaan turut dimeriahkan persembahan artis termasuk Azlan & The Typewriter, Aris Ariwatan dan Floor 88, selain penampilan pengacara Kak Joo serta Dewa Arteh.

Harith berkata, penganjuran itu diharap dapat menjadi platform menghimpunkan kanak-kanak, belia dan keluarga dalam suasana sambutan kemerdekaan yang santai dan inklusif.

"Ia juga diharap dapat memperkukuh hubungan serta semangat kebersamaan masyarakat setempat, selain membina ekosistem komuniti yang aktif di Padang Rengas.

"Seluruh masyarakat Padang Rengas, Kuala Kangsar dan kawasan sekitar dijemput hadir bersama keluarga bagi memeriahkan sambutan ini," katanya.