KUALA LUMPUR – Seorang lelaki etnik Rohingya dikesan memandu Honda Civic Type R tanpa lesen memandu yang sah dalam Operasi Khas Luxury di Plaza Tol Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) di sini pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayag Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL), Hamidi Adam berkata, kenderaan tersebut dikesan bergerak secara berkonvoi ke Genting Highlands bersama beberapa kenderaan lain di Plaza Tol SPE sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu yang sah, kita mengambil tindakan sitaan terhadap kenderaan berkenaan mengikut peruntukan undang-undang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, lelaki berkenaan mendakwa dirinya sebagai pekerja kepada pemilik kenderaan tersebut.
“Dia berkonvoi bersama pemilik kenderaan berkenaan. Majikannya ketika itu memandu Nissan GT-R dan membenarkan lelaki terbabit membawa Honda Civic Type R,” katanya.
Hamidi berkata, operasi selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis, JPJ WPKL menyita 23 kenderaan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
"Antara kenderaan lain yang turut disita ialah Ferrari F8, Porsche Macan, Land Rover Range Rover Sport, BMW, Mercedes-Benz, Audi, Volvo dan Toyota Alphard," katanya.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan notis yang dikeluarkan sepanjang operasi tiga hari tersebut sebanyak 96 notis.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 39 kes membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, 30 kes tiada perlindungan insurans, tiga kes tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan satu kes mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain," katanya.
Sementara itu, Hamidi berkata, sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Luxury bagi tahun ini sehingga 28 Ogos, sebanyak 179 kenderaan telah disita JPJ WPKL.
“Selain itu, sebanyak 179 notis penyitaan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dikeluarkan, menjadikan jumlah keseluruhan 572 notis bagi pelaksanaan Operasi Khas Luxury sepanjang tahun ini," katanya.