NEW DELHI – Lima bulan sebelum tragedi banjir besar melanda Nepal, dua laporan yang diterbitkan Pusat Antarabangsa bagi Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD) sudah memberi amaran mengenai perubahan membimbangkan terhadap glasier di kawasan Hindu Kush Himalaya (HKH).
Menurut laporan berkenaan, glasier di seluruh rantau HKH mencair pada kadar semakin pantas, dengan kadar kehilangan ais meningkat dua kali ganda sejak permulaan alaf baharu.
ICIMOD yang beribu pejabat di Kathmandu dan mempunyai India, Nepal, Bhutan serta China antara negara anggotanya, turut melaporkan kehilangan ketebalan ais glasier sehingga 27 meter sejak 1975.
Perkembangan itu memberi gambaran membimbangkan terhadap masa depan hampir dua bilion penduduk di kawasan hiliran yang bergantung kepada air daripada pencairan glasier, yang dikenali sebagai 'Menara Air Asia'.
Punca sebenar banjir kilat di Nepal yang mengorbankan 472 nyawa beberapa hari lalu masih disiasat saintis dan penyelidik.
Bagaimanapun, sebahagian besar penyelidik kini cenderung melihat kejadian itu sebagai hasil gabungan beberapa faktor, termasuk perkembangan yang paling membimbangkan apabila hujan berlaku pada altitud 4,000 meter dan ke atas, bukannya salji seperti kebiasaannya.
Seorang saintis dari Institut Geologi Himalaya Wadia yang berpangkalan di Dehradun memberitahu NDTV pada Khamis bahawa peningkatan suhu mungkin menjelaskan mengapa kawasan pada altitud berkenaan kini menerima hujan berbanding salji, selain menyumbang kepada pengunduran glasier pada kadar pantas.
Dua laporan ICIMOD yang diterbitkan pada Mac lalu menyatakan bahawa antara 1990 hingga 2020, glasier HKH kehilangan kira-kira 12 peratus daripada keseluruhan kawasannya serta sembilan peratus daripada anggaran rizab ais.
Salah satu laporan berkenaan, HKH Glacier Outlook 2026, yang menganalisis data daripada 38 glasier yang dipantau, mendapati kadar penyusutan glasier meningkat dua kali ganda sejak tahun 2000.
Keadaan itu menjadi petunjuk kukuh bahawa sebahagian kawasan kriosfera Himalaya mungkin menghampiri titik kritikal yang boleh menyebabkan pengunduran glasier tidak dapat dipulihkan.
Namun, laporan tersebut turut menekankan kekurangan data kerana hanya tujuh daripada 38 glasier yang dipantau memenuhi piawaian pemantauan global yang ditetapkan oleh Perkhidmatan Pemantauan Glasier Dunia (WGMS).
Kawasan yang mempunyai kehadiran glasier besar seperti Karakoram, Sikkim, Zanskar dan Bhutan juga masih sebahagian besarnya tidak dipantau.
Dalam perkembangan terbaharu, penyelidik ICIMOD sedang menyiasat kemungkinan runtuhan ais dan batu dari kawasan altitud tinggi menjadi pencetus kepada banjir berkenaan.
Sejumlah besar ais dan serpihan batu dipercayai mungkin memasuki Lende Khola, anak sungai kepada Sungai Bhote Koshi, sebelum menghasilkan lonjakan air secara tiba-tiba yang membawa bersama sedimen dan bongkah batu ke kawasan hiliran.
"Perkara ini berkait dengan perubahan iklim kerana litupan salji semakin berkurangan, glasier mengundur dan lebih banyak kawasan berbatu atau tandus terdedah. Kawasan itu menyerap lebih banyak haba, menyebabkan cerun menjadi lebih terdedah," kata pakar kriosfera kanan ICIMOD dan profesor madya di Institut Teknologi India Indore, Mohd Farooq Azam, kepada agensi berita PTI pada Khamis.
Beliau berkata, walaupun punca sebenar kejadian masih belum dikenal pasti, bukti semakin menunjukkan kaitannya dengan pengurangan litupan salji akibat pengunduran glasier serta kemerosotan permafrost.
Menurut ICIMOD, Hindu Kush Himalaya menempatkan jumlah ais terbesar di luar kawasan kutub, dengan lebih 63,700 glasier meliputi kawasan seluas lebih 55,000 kilometer persegi.
Glasier berkenaan menjadi sumber kepada 10 sistem sungai utama di Asia dan memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan, air, tenaga serta kehidupan berbilion-bilion penduduk.
ICIMOD turut menyatakan sekurang-kurangnya 78 peratus kawasan glasier yang terletak pada altitud antara 4,500 hingga 6,000 meter sangat terdedah kepada fenomena pemanasan mengikut ketinggian.
Perkara itu dinyatakan dalam dua laporan Mac lalu, masing-masing bertajuk Changing Dynamics of Glaciers in the Hindu Kush Himalaya Region from 1990 to 2020 dan HKH Glacier Outlook 2026: Insights from 50 Years of Himalayan Glacier Monitoring.
Ketika mengumumkan penerbitan laporan itu, ICIMOD berkata kehilangan glasier berlaku secara tidak sekata mengikut kawasan.
Kehilangan kawasan paling tinggi direkodkan di pergunungan Hengduan Shan timur, dengan sesetengah kawasan kehilangan sehingga 33 peratus daripada kawasan glasier dalam tempoh hanya tiga dekad.
Bagaimanapun, kehilangan kawasan secara mutlak paling besar tertumpu di lembangan sungai Indus, Ganges dan Brahmaputra, yang menempatkan lebih 74 peratus daripada keseluruhan glasier di rantau berkenaan.
Keadaan itu sekali gus menggariskan tahap kerentanan kritikal glasier di kawasan berkenaan terhadap perubahan iklim. - Agensi