Empat beranak maut: Zaid gesa kerajaan selami tekanan hidup rakyat

Iklan
Zaid berkata, kerajaan perlu sentiasa memantau ‘denyut nadi’ rakyat bagi mengenal pasti faktor yang mungkin mendorong berlakunya kejadian tragik seperti itu.

SHAH ALAM - Kerajaan digesa menyelami tekanan sosial dan ekonomi yang dihadapi rakyat khususnya golongan paling terdedah susulan tragedi empat sekeluarga yang ditemui mati di sebuah kondominium di Desa Parkcity, Kepong pada Khamis.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim berkata, kerajaan perlu sentiasa memantau ‘denyut nadi’ rakyat bagi mengenal pasti faktor yang mungkin mendorong berlakunya kejadian tragik seperti itu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, tragedi membabitkan empat sekeluarga di Kepong itu mengingatkannya kepada kejadian sama di Kuantan apabila seorang bapa membunuh keluarganya sebelum mengambil nyawa sendiri.

"Adakah ia disebabkan kemiskinan dan kehidupan yang sudah tidak tertanggung atau mereka menjadi mangsa Ah Long atau apa?" soalnya dalam satu hantaran Facebook pada Jumaat.

Iklan

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan empat sekeluarga membabitkan pasangan suami isteri dan dua anak ditemui mati di sebuah kondominium di Desa Parkcity, Kepong.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, laporan diterima pihaknya pada jam 3.32 petang berhubung seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang ditemui mati di bangunan kediaman terbabit.

Iklan

Hasil pemeriksaan kemudiannya menemui tiga individu iaitu isteri mangsa berusia 47 tahun dan dua anak pasangan itu masing-masing berusia sembilan dan tujuh tahun yang telah meninggal dunia di dalam bilik berasingan.

Justeru, Zaid berpandangan, kerajaan perlu sentiasa peka terhadap keadaan rakyat khususnya golongan yang paling terdedah kepada tekanan dan kesusahan.

Katanya, usaha membanteras rasuah dan tindakan undang-undang terhadap pihak yang melakukan kesalahan perlu diteruskan, namun kebajikan rakyat juga tidak boleh diabaikan.

"Teruskan usaha ‘sakau’ dan tindakan undang-undang terhadap mereka yang melakukan rasuah, tetapi kesusahan juga berpunca daripada mereka yang berkuasa dan tidak cukup mengambil berat terhadap kebajikan rakyat," tegasnya lagi.