KULAI - Kes kemalangan maut membabitkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Lingkaran Bulatan Persiaran Indahpura 4, di sini, pada Selasa lalu kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, keputusan itu dibuat susulan keterangan diperoleh polis melalui soal siasat terhadap suspek yang ditahan.
Beliau berkata, mangsa bersama empat penumpang lain menaiki sebuah Myvi dipandu lelaki tempatan berusia 20 tahun dari Jalan Kenanga, Indahpura untuk pulang ke rumah masing-masing selepas makan dan lepak bersama rakan-rakan pada 12.38 tengah malam.
Menurutnya, kenderaan berkenaan diekori beberapa kenderaan termasuk sebuah Toyota Vellfire berwarna hitam sebelum dipercayai dilanggar kenderaan berkenaan ketika tiba di bulatan terbabit.
“Akibat pelanggaran, kenderaan mangsa terbabas ke bahu jalan dan penumpang perempuan berusia 17 tahun yang duduk di tempat duduk hadapan tercampak keluar daripada kenderaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang lain tidak mengalami kecederaan serius,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Jumaat.
Menurut Ab Rahaman, kenderaan yang melanggar Myvi terbabit kemudian melarikan diri dan mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk bedah siasat.
Katanya, pada peringkat awal, kes berkenaan disiasat sebagai kemalangan jalan raya mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Ekoran perkembangan terkini itu, siasatan diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Ab Rahaman memberitahu, polis menahan tujuh lelaki dan seorang perempuan tempatan berusia antara 15 hingga 31 tahun dalam dua siri serbuan pada 25 dan 26 Ogos lalu di sekitar Johor Bahru dan Selangor.
Menurut beliau, empat daripada suspek terbabit mempunyai lima rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing kesemua mereka didapati negatif dadah.
“Tujuh suspek yang ditahan pada peringkat awal telah direman selama tujuh hari bermula 26 Ogos hingga 1 September, manakala seorang lagi direman selama dua hari bermula 27 hingga 28 Ogos,” ujarnya.
Beliau berkata, polis kemudian membuat tangkapan susulan terhadap lima lelaki tempatan berusia antara 16 hingga 29 tahun di sekitar Johor Bahru pada 27 Ogos lalu.
“Semakan mendapati suspek terbabit mempunyai 12 rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing kesemua mereka juga negatif dadah.
“Kelima-lima suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai hari inu dan diperintah reman selama tujuh hari bermula hari ini,” katanya.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas 12 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah Kia Forte, sebuah Toyota Vellfire, sebuah Toyota Hilux berwarna, sebatang besi besbol dan sebatang besi cota.
Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan memiliki senjata ketika melakukan rusuhan.
"Motif kejadian masih dalam siasatan, namun polis tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan konflik keahlian dua kumpulan kongsi gelap di kawasan Johor Bahru. Namun demikian, motif ini masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan terdapat tangkapan baharu sekiranya hasil risikan dan siasatan mendapati wujud individu lain yang terbabit dalam kejadian itu.
Sementara itu, beliau mengesahkan mangsa berusia 17 tahun terbabit sudah tidak bersekolah.
"Manakala seorang remaja perempuan berusia 15 tahun masih bersekolah antara suspek ditahan masih lagi belajar,” katanya.
Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang komen atau spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
“Sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian, orang ramai boleh menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau Polis Johor,” katanya.