KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan memohon, Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat menetapkan ikat jamin sebanyak RM800,000 terhadap bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, yang berdepan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta.
Semasa hujahan permohonan jaminan, Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaluddin pada mulanya mencadangkan mahkamah tidak memberikan jaminan kepada Timbalan Presiden MIC berusia 58 tahun itu.
Menurutnya, ini kerana kesalahan berkenaan termasuk dalam pertuduhan yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya mahkamah mengguna pakai budi bicara untuk menawarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan kadar itu ditetapkan pada jumlah yang tinggi.
Menurutnya, faktor yang perlu dipertimbangkan ialah graviti kesalahan, kedudukan Ahli Parlimen Tapah itu dalam Masyarakat.
“Ia termasuk risiko tertuduh melarikan diri dan kemungkinan mengganggu atau mempengaruhi saksi pendakwaan.
“Kedudukannya sebagai seorang ahli politik yang dikenali turut perlu diambil kira kerana kes berprofil tinggi berpotensi mendapat liputan media yang meluas,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib dan P Rubini.
Beliau berkata, jumlah jaminan yang dikenakan perlu mencerminkan tahap keseriusan kesalahan yang dipertuduhkan terhadap tertuduh.
Menurutnya, jumlah tersebut sangat munasabah dan tidak keterlaluan kerana mengambil kira keseriusan pertuduhan serta hukuman yang diperuntukkan undang-undang.
Katanya, jumlah ikat jamin yang dicadangkan adalah munasabah dan tidak keterlaluan memandangkan kesalahan adalah serius membabitkan jutaan ringgit.
Selain kadar jaminan itu, beliau turut mencadangkan Pengerusi Yayasan Seniman India itu dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, dilarang mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara langsung atau melalui pihak ketiga.
Katanya, ia termasuk melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap tiga bulan.
“Jumlah yang dicadangkan itu bukan bersifat menghukum atau keterlaluan, sebaliknya bertujuan memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah sepanjang perbicaraan,” katanya.
Saravanan dalam kes tersebut diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent, Lavinia Raja dan Jeremiah Anand.
Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, Hakim, Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM450,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
“Ia termasuk syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sekali setiap tiga bulan dan tidak mengganggu saksi secara langsung atau tidak langsung,” katanya yang kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 29 September depan.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Ahli Parlimen Tapah mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan, menerima suapan masing-masing RM150,000, RM350,000 dan RM597,000 daripada Pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Allahyarham Syed Amirul Syed Ahmad, 38.
Daripada jumlah itu, RM597,000 diterima melalui sekeping cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan dan upah kepada tertuduh, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Sumber Manusia, untuk memberikan kelulusan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi syarikat TYKB Engineering Sdn Bhd.