ALOR SETAR - Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memohon maaf berhubung penggunaan bahasa kesat ketika mengulas isu lesen premis perjudian di negeri ini.
Pengerusi Kedah Sepakat, Nor Miswary Ramli berkata, penggunaan bahasa sedemikian tidak wajar dan tidak mencerminkan tatasusila seorang pemimpin negeri.
Menurutnya, Menteri Besar sepatutnya menjadi contoh dengan berhujah secara matang dan beradab, terutama ketika membincangkan isu sensitif berkaitan agama dan moral.
"Kenyataan Menteri Besar ketika program di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar baru-baru ini dilihat lebih menyerupai ceramah politik berbanding penjelasan dasar rasmi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Sanusi memberi amaran bahawa Perdana Menteri akan dimaki rakyat Kedah sekiranya membenarkan aktiviti perjudian disambung semula di negeri berkenaan.
Penggunaan bahasa kesat Muhammad Sanusi ketika mengkritik Perdana Menteri turut ditegur Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah yang menyifatkannya tidak sesuai dengan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar.
Dalam pada itu, Kedah Sepakat turut mempertikaikan kenyataan Muhammad Sanusi berhubung isu lesen premis perjudian yang didakwa memberi gambaran seolah-olah kerajaan Persekutuan meluluskan lesen judi baharu atau menambah bilangan premis perjudian di Kedah.
Nor Miswary berkata, berdasarkan penjelasan Kementerian Kewangan, tiada lesen baharu dikeluarkan manakala jumlah lesen sedia ada kekal berdasarkan kelulusan yang dibuat sejak tahun 1990-an.
“Datuk Seri Sanusi sepatutnya berlaku jujur kepada rakyat Kedah, bukan menyebarkan naratif yang mengelirukan semata-mata untuk kepentingan politik,” ujarnya.
Menurut Nor Miswary, isu berkenaan juga perlu dilihat berdasarkan keputusan mahkamah selepas tindakan kerajaan negeri menghentikan pembaharuan lesen premis perjudian dicabar.
Katanya, kerajaan negeri kalah dalam kes berkenaan dan Mahkamah Persekutuan turut menolak permohonan kebenaran merayu kerajaan Kedah.
Beliau menegaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai kuasa untuk menentukan keputusan kehakiman kerana negara mengamalkan prinsip pemisahan kuasa antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.
“Justeru, Datuk Seri Sanusi perlu menjelaskan kepada rakyat punca sebenar kekalahan pentadbirannya di mahkamah dan tidak mengalihkan kesalahan kepada pihak lain,” katanya.
Kedah Sepakat turut menggesa Muhammad Sanusi menghentikan budaya berpolitik menggunakan isu sensitif agama dan moral demi kepentingan politik peribadi atau parti.