Masjid Al-Munir rancang pembangunan bangunan tambahan RM850,000

Iklan
Khairul Anuar (dua dari kiri) bersama jemaah yang aktif mengimarahkan Masjid Al - Munir. Foto ihsan Masjid Al - Munir

KOTA BHARU - Masjid Al-Munir Mukim Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini merancang pembangunan bangunan tambahan di laman hadapan masjid bagi memperkasa kemudahan untuk kegunaan jemaah dan masyarakat setempat.

Setiausaha Masjid Al-Munir, Khairul Anuar Mohd Mokhtar berkata, pembangunan berkenaan membabitkan keperluan dana kira-kira RM850,000 bagi menyediakan ruang yang lebih sesuai untuk pelbagai urusan pengurusan serta aktiviti keagamaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara kemudahan yang dicadangkan ialah bilik pejabat termasuk ruang pejabat imam, bilik mesyuarat, kaunter zakat dan urusan awam serta bilik kuliah untuk kelas al-Quran, fardu ain dan pengajian dewasa.

“Selain itu, kami juga perlukan garaj khas untuk meletakkan van jenazah serta pemasangan tapak gajah di laman masjid,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Khairul Anuar berkata, perancangan itu dibuat bagi memastikan Masjid Al-Munir bukan sekadar menjadi tempat solat, tetapi turut mempunyai kemudahan yang dapat menyokong pelbagai keperluan masyarakat.

Katanya, beberapa bahagian masjid sedia ada turut memerlukan kerja pembaikan dan naik taraf secara berperingkat bagi memastikan keselamatan serta keselesaan jemaah sentiasa terpelihara.

Iklan

“Antaranya pembaikan menara lama yang menempatkan pembesar suara azan selain pembesaran dan naik taraf kubah masjid.

“Bahagian mihrab dan mimbar juga perlu diperkemaskan dengan penggunaan seni khat supaya penampilan masjid lebih tersusun dan mempunyai nilai seni Islam,” katanya.

Bagi masyarakat yang ingin menyumbang boleh salurkan ke Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Masjid Al-Munir Mukim Badang nombor akaun 03139010017193.