SHAH ALAM – The IBR Asia Group memperluaskan operasi antarabangsa menerusi kerjasama strategik dengan syarikat berpangkalan di Singapura, Link To Asia.
Kerjasama itu akan menyokong kerajaan, institusi, pertubuhan antarabangsa dan sektor perniagaan yang mahu memperkukuh komunikasi strategik, membangunkan kerjasama antarabangsa serta meneroka peluang pasaran rentas sempadan.
Konsul Kehormat Nicaragua ke Malaysia merangkap Pengarah Urusan Kumpulan The IBR Asia Group, Datuk Beatrice Maria Nirmala berkata, perkembangan masa depan Asia tidak akan ditentukan oleh sempadan semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kekuatan hubungan yang dibina.
“Singapura merupakan antara pintu masuk utama dunia, selain menjadi pusat perniagaan dan kewangan global yang menghubungkan Asia dengan dunia.
“Kerjasama strategik ini akan membolehkan kami mewujudkan platform yang lebih kukuh untuk berinteraksi dengan kerajaan, institusi, syarikat dan pertubuhan antarabangsa di seluruh rantau ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Berpangkalan di Singapura, Link To Asia diasaskan oleh Tevadass Thangevelloo dan mempunyai pengalaman membantu kerajaan, institusi serta pertubuhan antarabangsa menterjemahkan peluang rentas sempadan kepada inisiatif yang tersusun serta relevan dengan keperluan tempatan.
Syarikat itu memberi tumpuan kepada penglibatan dengan kerajaan, risikan pasaran, kerjasama institusi dan penyelarasan projek.
Perluasan operasi berkenaan turut mengukuhkan kehadiran The IBR Asia Group di Singapura, selain menyediakan platform bagi membangunkan hubungan dan peluang baharu di Asia Tenggara serta pasaran antarabangsa.
Sementara itu, Pengasas Link To Asia, Tevadas R Thangavelloo memberitahu, kekuatan Singapura terletak pada keupayaannya menghubungkan individu, institusi dan peluang di seluruh Asia.
“Link To Asia menyediakan platform praktikal untuk membangunkan hubungan ini dan membantu organisasi bergerak bukan sekadar meneroka peluang kepada penglibatan serta kerjasama yang lebih tersusun,” ujarnya.
Pengembangan itu bertujuan memperkukuh pengaruh global The IBR Asia Group menerusi komunikasi, jaringan hubungan dan penerokaan peluang di Asia, Asia Tenggara, Timur Tengah, Eropah, Amerika Utara serta Amerika Latin