Prosiding tatatertib berkait kebebasan bersuara di universiti awam dihentikan serta-merta

Iklan
KPT memaklumkan pihaknya akan meneliti langkah yang boleh dilaksanakan dalam kerangka perundangan sedia ada bagi menterjemahkan penegasan tersebut dengan segera. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Semua prosiding tatatertib berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan secara aman di semua universiti awam hendaklah dihentikan berkuat kuasa serta-merta, menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

KPT memaklumkan bahawa ketetapan itu adalah langkah segera untuk memperluas kebebasan bersuara dan hak berpersatuan mahasiswa seiring dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Forum Ilmuwan Malaysia Madani (FIM) Siri 13 berkaitan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) (AUKU).

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, KPT menerusi satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan pihaknya juga meneliti langkah yang boleh dilaksanakan dalam kerangka perundangan sedia ada bagi menterjemahkan penegasan tersebut dengan segera.

Beberapa peruntukan dalam AUKU serta Kaedah-Kaedah Tatatertib Pelajar yang mengehadkan kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan telah dikenal pasti untuk dikecualikan daripada pemakaian sebagai langkah pelaksanaan segera. 

Iklan

Antaranya kebebasan pengurusan persatuan dan kelab, kebebasan pengurusan aktiviti pelajar, dan kebebasan bersuara, berhimpun, penggunaan platform komunikasi, pengedaran serta penerbitan dokumen.

"Pada masa yang sama, kebebasan tersebut perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab dan keluhuran undang-undang. 

Iklan

"Perbuatan yang melibatkan keganasan, vandalisme, kerosakan harta, kesalahan jenayah, salah laku akademik atau pelanggaran tatatertib yang sah tetap tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

KPT juga memaklumkan, bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang tidak tertakluk kepada AUKU, penelitian sama akan dilaksanakan terhadap peruntukan masing-masing yang berkaitan mahasiswa agar selaras dengan langkah pembaharuan dilaksanakan di bawah AUKU.

KPT terus komited meneruskan pembangunan tatakelola pendidikan tinggi yang terbuka, tersusun dan inklusif melalui penglibatan semua pihak berkepentingan bagi memastikan penghasilan satu ekosistem pendidikan tinggi masa hadapan negara yang berkualiti.

Sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan bahawa sementara proses pembangunan kerangka perundangan baharu dilaksanakan, langkah yang boleh memberikan lebih kebebasan kepada mahasiswa perlu dilaksanakan segera tanpa perlu menunggu keseluruhan proses penggubalan akta baharu selesai. - Bernama