KATHMANDU – Angka kematian akibat banjir besar yang melanda kawasan pergunungan Himalaya di utara tengah Nepal berhampiran sempadan China meningkat kepada 389 orang, manakala lebih 1,200 lagi masih dilaporkan hilang.
Pihak berkuasa bencana Nepal pada Jumaat memaklumkan, seramai 466 orang turut cedera dan 644 masih hilang susulan bencana yang berlaku pada 26 Ogos lalu.
Angka korban itu meningkat lebih dua kali ganda berbanding 165 kematian yang dilaporkan sehari sebelumnya ketika operasi mencari dan menyelamat terus dipergiatkan.
Di daerah Gyirong, Wilayah Autonomi Tibet, China yang turut terjejas akibat bencana sama, tiga orang disahkan maut manakala 558 lagi masih hilang.
Secara keseluruhan, jumlah mangsa yang maut dan hilang di kedua-dua kawasan di Nepal serta Tibet kini mencecah kira-kira 1,600 orang.
BERITA BERKAITAN: Banjir Nepal: 'Doakan 9 pendaki Malaysia, mereka gagal dihubungi'
Banjir Nepal: ATM sedia digerakkan bagi misi kemanusiaan - Mohamed Khaled
Banjir Nepal: Angka rakyat Malaysia gagal dihubungi meningkat kepada 55 orang
Banjir Nepal: PM zahir dukacita, kerajaan giat kesan 54 rakyat Malaysia
Lebih 13,000 anggota polis, tentera dan pasukan keselamatan bersenjata dikerahkan untuk menjalankan operasi mencari mangsa dari kawasan hulu hingga ke hilir sungai.
Pasukan penyelamat turut menemukan mayat di kawasan Chitwan, kira-kira 100 kilometer dari lokasi utama bencana, manakala lebih 750 orang berjaya diselamatkan pada 27 Ogos sahaja.
Bagaimanapun, operasi mencari berdepan cabaran besar apabila kawasan sempadan di utara terputus hubungan jalan raya dan hanya boleh diakses menggunakan helikopter, selain keadaan muka bumi pergunungan Himalaya yang sukar.
Pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa mangsa hilang membabitkan warga dari lebih 30 negara, dengan rakyat India mencatatkan jumlah tertinggi seramai 178 orang.
Pihak berkuasa Nepal dan China kini turut memberi amaran mengenai risiko bencana susulan selepas sebuah tasik baharu terbentuk apabila runtuhan tanah menghalang aliran sungai.
Pihak berkuasa China menjangkakan sehingga tiga juta meter padu air boleh mengalir masuk ke tasik itu dalam tempoh tiga hari akan datang, sekali gus meningkatkan paras air dan risiko limpahan baharu.- Agensi