KATHMANDU - Sekumpulan pekerja di Nepal berdepan detik cemas apabila bertempiaran menyelamatkan diri selepas arus deras lumpur, batu dan air tiba-tiba menerjah ke arah mereka.
Salah seorang daripada mereka sempat merakamkan kejadian mengerikan selama beberapa saat pada Rabu sebelum berpaling dan melarikan diri bersama rakannya yang lain.
Menerusi klip pendek itu, pekerja yang memakai topi keselamatan dan ves pemantul cahaya dilihat berada berhampiran dasar sungai sebelum kemunculan kepulan debu.
Dalam sekelip mata, aliran yang pada mulanya kelihatan berada pada jarak yang jauh bertukar menjadi arus deras yang membawa lumpur dan serpihan.
Mereka sempat menyelamatkan diri dengan bergegas ke kawasan lebih tinggi ketika banjir dahsyat itu melanda.
Individu dikenali sebagai Vivek Shrestha kemudiannya memaklumkan dia telah diselamatkan menggunakan helikopter selepas terperangkap dalam banjir dahsyat itu.
Dia turut berkongsi satu lagi video yang memaparkan kemusnahan teruk akibat banjir berkenaan.
Rakaman dramatik berkenaan tular ketika Kathmandu berdepan antara bencana paling buruk di kawasan berhampiran sempadan Nepal-Tibet. - Agensi