IOI Properties catat sejarah, rekod hasil tertinggi RM4.44 bilion

Iklan
IOI Mall Puchong. Gambar kecil:Lee

IOI Properties Group Berhad (IOIPG) mencatat sejarah apabila merekodkan hasil tertinggi sepanjang penubuhannya sebanyak RM4.44 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (TK2026), meningkat 45 peratus berbanding RM3.06 bilion yang dicapai pada tahun sebelumnya.

Prestasi memberangsangkan tersebut turut menyaksikan keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 82 peratus kepada RM2.65 bilion berbanding RM1.45 bilion pada TK2025, disokong pertumbuhan kukuh dalam ketiga-tiga segmen perniagaan teras iaitu pembangunan hartanah, pelaburan hartanah serta hospitaliti dan riadah.

Iklan
Iklan

Segmen pembangunan hartanah merekodkan pertumbuhan hasil sebanyak 35 peratus, manakala pelaburan hartanah meningkat 49 peratus dan hospitaliti serta riadah melonjak 79 peratus.

Tanpa mengambil kira item luar biasa, PBT asas Kumpulan turut meningkat 91 peratus kepada RM1.30 bilion, didorong pengiktirafan jualan tanah di Jalan Ampang dan Melaka, selain peningkatan kadar penghunian fizikal di IOI Central Boulevard Towers serta sumbangan South Beach Tower.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Datuk Lee Yeow Seng berkata, pencapaian cemerlang TK2026 adalah hasil kerjasama semua pasukan dalam mencapai matlamat bersama meskipun berdepan cabaran ekonomi global dan ketegangan geopolitik yang berterusan.

Bandar Puteri Puchong muncul sebagai penyumbang terbesar bagi segmen pembangunan hartanah hasil sambutan luar biasa terhadap projek The Cube Plus.

Iklan

"Prestasi ini membuktikan keberkesanan strategi kami dalam mempelbagaikan aliran pendapatan, memanfaatkan permintaan terhadap hartanah industri serta memperkenalkan produk yang memenuhi kehendak pasaran, di samping meningkatkan produktiviti dan kecekapan merentasi tiga segmen perniagaan teras.

"Memasuki TK2027, kami mengakui cabaran ekonomi global dan risiko geopolitik mungkin masih berterusan.

"Namun begitu, Kumpulan kekal optimis secara berhati-hati terhadap prestasi kewangan, disokong permintaan kukuh bagi portfolio produk pembangunan hartanah yang pelbagai serta sumbangan yang semakin meningkat daripada segmen pelaburan hartanah.

"Sehubungan itu, kami berbesar hati mengumumkan dividen interim sebanyak 8.0 sen dan dividen khas 8.0 sen, menjadikan jumlah keseluruhan 16.0 sen bagi TK2026,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, bagi TK2026, segmen Pembangunan Hartanah mencatatkan jualan kukuh sebanyak RM3.91 bilion.

Projek di Malaysia kekal menjadi penyumbang utama dengan nilai jualan RM3.53 bilion atau 91 peratus daripada keseluruhan jualan.

Projek di Republik Rakyat China (PRC) menyumbang RM247.7 juta (6 peratus), manakala Singapura menyumbang RM132.3 juta (3 peratus).

Di Malaysia, Lembah Klang mendahului dengan jualan RM2.65 bilion, dipacu jualan tanah industri di IOI Industrial Park Banting dan tanah komersial di Jalan Ampang, selain sumbangan stabil daripada bandar-bandar utama Kumpulan.

Bandar Puteri Puchong muncul sebagai penyumbang terbesar hasil sambutan luar biasa terhadap projek The Cube Plus.

Wilayah Johor pula merekodkan jualan RM875.5 juta, disokong prestasi kukuh bandar matang Bandar Putra Kulai dan Taman Kempas Utama, selain sumbangan jualan tanah industri.

Lee berkata, momentum jualan tersebut diterjemahkan kepada jualan belum dibilkan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM2.51 bilion, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh bagi tempoh jangka pendek hingga sederhana.

Pada masa sama, inventori siap turut berkurangan sebanyak RM100.6 juta kepada RM1.17 bilion, terutamanya di PRC selepas pelaksanaan penyelarasan harga yang berjaya meningkatkan prestasi jualan.

“Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada usaha menjana nilai daripada inventori ini menerusi penempatan produk yang strategik dan inisiatif pemasaran yang lebih tersasar,” katanya.

Sementara itu, segmen pelaburan hartanah pula terus berkembang hasil peningkatan kadar penghunian di IOI Central Boulevard Towers, South Beach Tower serta prestasi kukuh IOI City Mall dan IOI Mall Puchong.

Dalam sektor hospitaliti, kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka terus merangsang permintaan, manakala pembukaan The Westin Puchong yang dijadualkan pada Jun 2030 bakal mengukuhkan lagi portfolio hospitaliti Kumpulan.