'Air biru' Sungai Perak kekal Kelas II, selamat digunakan

Iklan
Abdul Rani menerangkan punca air sungai berwarna biru ketika taklimat kepada media baru-baru ini.

Abdul Rani menerangkan punca air sungai berwarna biru ketika taklimat kepada media baru-baru ini.

IPOH - Air Sungai Perak yang berubah warna kebiruan sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai disahkan masih berada dalam kategori Kelas II Indeks Kualiti Air (IKA) Malaysia sekali gus sesuai digunakan mengikut kegunaan awam.

Iklan
Iklan

Kebimbangan orang ramai khususnya penduduk setempat turut timbul susulan aktiviti perlombongan di kawasan Sungai Rui sehingga mencetuskan persoalan sama ada aktiviti berkenaan mempunyai kaitan dengan perubahan warna air dan kejadian ikan mati.

Pakar sains alam sekitar, Dr Abdul Rani Abdullah berkata, sampel air Sungai Perak yang diambil ketika fenomena air biru berlaku telah dianalisis berdasarkan lebih 30 parameter bagi menentukan keadaan sebenar kualiti air berkenaan.

Iklan

Menurutnya, hasil analisis mendapati hampir keseluruhan parameter yang diuji masih berada pada tahap yang membolehkan air sungai berkenaan digunakan bagi kegunaan yang ditetapkan di bawah Kelas II, termasuk rekreasi, perikanan serta sebagai sumber air mentah untuk dirawat.

“Bila kita kata selamat, kita kena tanya, selamat untuk apa? Kalau kita bercakap mengenai air mentah untuk dirawat melalui proses konvensional, berdasarkan data yang kita ada, kualitinya masih berada pada tahap yang membolehkan ia menjalani rawatan konvensional.

Iklan

“Jika kualiti air itu sesuai untuk dirawat bagi tujuan bekalan air, saya boleh katakan ia juga selamat untuk sistem pertanian,” katanya kepada media baru-baru ini.

Bagaimanapun, Abdul Rani yang juga profesor adjung di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menegaskan, status Kelas II tidak bermaksud air Sungai Perak boleh diminum secara terus tanpa melalui proses rawatan.

“Tidak ada air sungai yang sepatutnya diminum secara terus, ia perlu melalui proses rawatan terlebih dahulu,” katanya.

Ditanya mengenai insiden ikan mati, Abdul Rani memberitahu, berdasarkan data kualiti air yang diperoleh, kandungan logam yang direkodkan tidak menunjukkan tahap yang cukup tinggi untuk menjadi punca kematian ikan.

Kakitangan Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak mengambil sampel di Sungai Perak bagi mengenal pasti kualiti air susulan fenomena air sungai tersebut berubah warna menjadi biru.

Sebaliknya, pemerhatian awal mendapati kejadian itu lebih berkemungkinan mempunyai kaitan dengan peningkatan pepejal terampai khususnya selepas hujan lebat.

Jabatan Perikanan Negeri Perak sebelum ini membuat persampelan air di tiga lokasi kes kematian ikan iaitu di Jeti Pulau Belayar dan Dataran Loma.

"Kalau kita lihat data, kandungan logam itu bukan pada tahap yang serius. Kalau logam itu yang menyebabkan ikan mati, kandungannya perlu berada pada kepekatan yang jauh lebih tinggi daripada apa yang kami rekodkan.

"Berdasarkan pemerhatian dan data yang kami peroleh, kami rasa ia lebih kepada pepejal terampai yang tinggi, terutama selepas hujan lebat,” katanya.

Menurut Abdul Rani, keadaan itu boleh berlaku apabila hujan lebat menyebabkan air larian membawa lumpur, sedimen dan bahan terampai dari kawasan permukaan tanah terbuka ke dalam sungai.

Jelasnya, keadaan tersebut berpotensi menjejaskan hidupan akuatik apabila kandungan pepejal terampai meningkat dengan ketara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan punca sebenar kematian ikan masih perlu disahkan menerusi kajian khusus kerana analisis kualiti air semata-mata tidak mencukupi untuk menentukan punca kematian hidupan akuatik.

“Kalau ikan mati, kaedah kajiannya berbeza. Kita perlu tengok ikan itu sendiri, keadaan air ketika kejadian dan buat analisis seperti autopsi untuk mengetahui kenapa ikan itu mati.

“Jadi saya kira kajian khas perlu dilakukan supaya kita dapat data yang lebih langsung mengenai puncanya,” katanya.

Mengapa air Sungai Perak boleh kelihatan biru?

Fenomena air Sungai Perak bertukar warna menjadi biru dipercayai dipengaruhi gabungan keadaan geologi, kandungan mineral semula jadi, hujan serta keadaan aliran sungai.

Air dari Sungai Rui yang mengalir deras akan bertemu Sungai Perak yang lebih lebar dan mempunyai kadar aliran berbeza.

Dalam keadaan tertentu, kandungan bahan dan mineral terampai di dalam air bersama keadaan aliran sungai boleh mempengaruhi penyebaran cahaya sehingga menghasilkan warna kebiruan yang dapat dilihat dengan mata kasar.

Dr Abdul Rani berkata, kawasan Hulu Perak sememangnya mempunyai kandungan mineral yang tinggi secara semula jadi berdasarkan kajian geokimia yang dilaksanakan selama kira-kira 15 tahun.

Menurutnya, keadaan itu menjadi lebih ketara apabila jumlah hujan meningkat kerana lebih banyak air larian melalui kawasan tadahan dan berpotensi membawa bersama lebih banyak partikel mineral ke dalam sungai.

Ketika hujan lebat, jumlah air larian serta bahan yang dibawa masuk ke sungai juga boleh meningkat dan mengubah keadaan fizikal air termasuk tahap kekeruhan, pepejal terampai dan rupa warna yang dilihat.

Bagaimanapun katanya, kehadiran mineral dan hujan sahaja tidak mencukupi untuk menyebabkan air sungai sentiasa kelihatan biru kerana keadaan aliran air turut memainkan peranan.

“Air tidak bertukar menjadi biru sepanjang masa. Ia berlaku dari semasa ke semasa dan bergantung kepada beberapa faktor yang perlu wujud pada masa yang sama.

“Mineral itu perlu ada, kepekatannya perlu mencukupi dan keadaan air juga perlu sesuai. Apabila faktor-faktor ini berlaku pada masa yang sama, barulah fenomena itu dapat dilihat,” katanya.

Abdul Rani berkata, Sungai Rui yang lebih sempit mempunyai aliran lebih deras, tetapi apabila memasuki Sungai Perak yang lebih lebar, aliran air menjadi perlahan.

“Apabila aliran menjadi perlahan, ia memberi peluang kepada mineral tertentu untuk berkumpul atau berada di sesuatu kawasan untuk tempoh yang lebih lama,” katanya.

Dalam keadaan itu, partikel mineral yang halus boleh kekal terampai di dalam air. Apabila terkena cahaya, berlaku penyebaran dan pantulan cahaya yang menyebabkan badan air kelihatan kebiruan.

Beliau berkata, mineral semulajadi seperti tembaga, besi, aluminium dan silika boleh mempengaruhi warna air, manakala saiz partikel turut mempengaruhi bagaimana cahaya tersebar di dalam air.

Abdul Rani berkata, fenomena badan air kelihatan kebiruan akibat keadaan mineral tertentu bukan sesuatu yang hanya berlaku di Sungai Perak, sebaliknya pernah diperhatikan di kawasan lain termasuk di Bau, Sarawak, Semenyih, Selangor dan Bukit Ibam, Pahang.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa fenomena itu berpunca daripada kegiatan perlombongan unsur nadir bumi (REE), Abdul Rani berkata, kejadian air biru pernah direkodkan sekitar 2019, iaitu sebelum aktiviti berkenaan dijalankan di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, itu tidak bermakna aktiviti perlombongan boleh diketepikan sepenuhnya sebagai antara penyumbang kepada bahan mineral yang memasuki sistem sungai.

“Ini kerana sebarang aktiviti pembukaan tanah boleh menyebabkan bahan dari permukaan tanah dibawa oleh air larian ke sungai. Ia bukan sahaja melibatkan perlombongan, tetapi juga aktiviti lain seperti pembukaan tanah untuk pertanian.

Dalam pada itu, Abdul Rani berkata, perubahan warna berkenaan bukan bermaksud kualiti air Sungai Perak berada pada tahap yang tidak selamat.

Berdasarkan persampelan dan analisis yang dilakukan ketika kejadian air biru, kualiti air di lokasi berkenaan masih berada dalam Kelas II dan sesuai bagi kegunaan yang dibenarkan dalam klasifikasi tersebut, termasuk aktiviti perikanan dan pertanian serta sebagai sumber air mentah.