BAGFest 2026: Cipta IP mampan, bukan sekadar siapkan projek

Iklan
Dari kiri: Norman Goh, Anuar Fariz, Sudarnoto dan Tiara pada sesi perbincangan khas bertajuk Featured Panel: Building a Sustainable Ecosystem for the Digital Content Revolution sempena BAGFest 2026, di Kuching.

Dari kiri: Norman Goh, Anuar Fariz, Sudarnoto dan Tiara pada sesi perbincangan khas bertajuk Featured Panel: Building a Sustainable Ecosystem for the Digital Content Revolution sempena BAGFest 2026, di Kuching.

KUCHING - Industri kandungan digital dan kreatif tempatan perlu beralih daripada sekadar bersaing menerusi kos murah kepada penekanan aspek kualiti, pembangunan harta intelek (IP) mampan serta pembentukan ekosistem kompre- hensif bagi mendepani persaingan serantau.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil berkata, Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada naratif tawaran kos perkhidmatan yang lebih rendah berbanding negara jiran untuk kekal relevan.

Menurut beliau, persaingan kini semakin sengit memandangkan negara serantau seperti Vietnam berkembang pesat dengan tawaran kos yang jauh lebih kompetitif.

Iklan

“Kita tidak boleh bertanding dari segi kos sampai bila-bila kerana ia tidak mampan. Kehadiran gergasi industri seperti PlayStation, EA dan Bandai di negara ini membuktikan Malaysia mempunyai infrastruktur fizikal yang kukuh serta bakat muda yang berdaya saing.

“Fokus utama kini perlu digerakkan ke arah memacu kecemerla- ngan, meningkatkan kualiti serta memperkasakan jenama Made by Malaysians,” katanya ketika menjadi panelis pada sesi perbincangan khas sempena Borneo Animation and Games Festival (BAGFest) 2026, di Hotel Pullman di sini.

Iklan

Sesi perbincangan bertajuk Building a Sustainable Ecosystem for the Digital Content Revolution itu dikendalikan oleh Norman Goh dari Nikkei Asia sebagai moderator.

Beliau menambah, pengalaman panjang Malaysia sebagai pusat perkhidmatan sokongan sebelum ini bukannya satu pembaziran masa, sebaliknya menjadi landasan penting dalam membina kemahiran dan melatih bakat tempatan.

Menurut Anuar, hasil daripada proses tersebut kini membuktikan industri tempatan mampu menghasilkan IP dan animasi sendiri yang bertaraf dunia.

“Sama seperti Korea dengan K-drama atau Jepun dengan anime yang tidak perlu diubah ke bahasa Inggeris semata-mata untuk memuaskan segmen pasaran tertentu, Malaysia juga mempunyai keupayaan penceritaan hebat seperti filem Puteri Gunung Ledang, projek White Rajah serta filem Abang Adik yang menyentuh jiwa.

“Bagi menyokong cita-cita ini, MDEC merangka Pelan Hala Tuju DICE (20262030) yang berteraskan empat teras utama iaitu Modal Insan, Pengkomersialan IP, Pembiayaan dan Pelaburan Bernilai Tinggi serta Jenama Kebangsaan demi memacu perluasan pasaran antarabangsa,” jelas beliau.

Pembinaan ekosistem lengkap

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Datuk Ir Ts Sudarnoto Osman menjelaskan, hasrat menjadikan Kuching sebagai ‘Annecy Asia Tenggara’ memerlukan pembinaan ekosistem lengkap dan bukannya bergantung kepada penganjuran festival semata-mata.

Jelas beliau, ekosistem tersebut merangkumi pengasuhan bakat dari peringkat sekolah, sokongan rumah produksi, keusahawanan hingga kepada pengkomersialan IP.

“Kos sara hidup di Kuching yang lebih rendah berbanding pusat bandar lain memberi ruang dan peluang yang lebih panjang kepada penggiat kreatif untuk bangkit semula sekiranya menghadapi kegagalan.

“Kuching turut menawarkan persekitaran komuniti berpendidikan tinggi, bertutur dalam bahasa Inggeris serta kaya dengan warisan penceritaan budaya Borneo yang berpotensi besar untuk diketengahkan,” katanya.

Tambah Sudarnoto, kejayaan sasaran Pelan Cetak Biru Digital Sarawak menjelang 2030 diukur menerusi pencapaian angka serta petunjuk prestasi utama (KPI) yang konkrit.

Sektor digital disasarkan menyumbang 20 peratus kepada keseluruhan Kawasan Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak menjelang 2030, di samping mewujudkan 40,000 hingga 50,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi merentas pelbagai sektor bagi meningkatkan taraf hidup rakyat tempatan.

“Penglibatan penggiat kreatif Sarawak perlu dilipatgandakan daripada hanya sekitar 10 rumah produksi sedia ada kepada sasaran 40 hingga 50 studio, memandangkan ratusan graduan dilahirkan oleh universiti pada setiap tahun.

“SDEC juga memastikan fungsi khidmat susulan dilaksanakan bagi memantau pelaburan, perjanjian perniagaan dan memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai dalam persidangan seperti IDECS dan BAGFest agar terus membuahkan hasil,” tegas beliau.

Kelangsungan hayat IP

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Enfiniti, Puan Sri Tiara Jacquelina menegaskan, isu utama industri kreatif negara bukanlah kekurangan idea atau bakat, sebaliknya kelemahan jurang antara fasa penciptaan dan pengkomersialan.

Beliau menyeru penggiat industri agar memikirkan kelangsungan hayat sesebuah IP untuk jangka masa panjang dan tidak hanya tertumpu kepada penyiapan sesuatu projek.

“Penggiat industri perlu melihat potensi IP secara merentas platform seperti filem, animasi, permainan digital, barangan dagangan, pengalaman fizikal dan pelancongan bagi memastikan jalinan emosi dengan khalayak sentiasa berterusan,” katanya.

Tiara turut menggesa bakat muda agar tidak hanya menguasai alatan atau perisian digital semata-mata, sebaliknya memupuk minda keusahawanan dan membina ‘enam otot utama’ untuk berdaya saing.

Enam aspek penting tersebut merangkumi penceritaan, citarasa untuk mengenalpasti karya berjiwa, sifat ingin tahu menerusi pembacaan dan pengalaman budaya, kolaborasi, keusahawanan serta kefahaman mendalam mengenai hak milik IP.

“Sesuatu idea yang hebat tetapi tidak mampu menjangkau penonton akhirnya tetap kekal sebagai idea sahaja.

“Penggiat muda perlu memahami aspek pembiayaan, pemasaran, pengedaran dan potensi hayat IP untuk tempoh 10 tahun akan datang bagi membina dunia kreatif yang dimahukan oleh pasaran global,” ujarnya.

Kejayaan dan kegemilangan penganjuran BAGFest 2026 di Kuching, Sarawak ini ditunjangi oleh rakan penganjur dan rakan strategik utama iaitu MDEC, SDEC, GSC International Screens serta Warna Kala Studios.

Kejayaan penganjuran BAGFest 2026 di Kuching, Sarawak ini didukung oleh kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, dengan MDEC dan SDEC selaku penganjur bersama yang memainkan peranan utama dalam menjayakan festival ini.

Festival berprestij ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai rakan strategik dan industri, termasuk Business Events Sarawak, Sarawak Tourism Board (STB), TEGAS, SAINS, SCENIC, PERKESO, EdgePoint, UKAS, TVS, Gempak, Borak SeeNI, GovInsider, Multimedia University (MMU), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Borneo Digital, UNICEF, Malaysia Airlines, Grab dan voco Kuching.

Turut terlibat ialah Wau Animation, Anima Vitae, Animasia, Fly Studio, Metadise.io, TrifoldX, Warnakala Studios, Metronomik, Lemon Sky Studios, Sony, OffGamers, G2G, RewardinMe dan Kelab Gasing Beyblade, manakala program Wayang Pacak turut disokong oleh Golden Sreen Cinemas, Cinewav, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Bioverde Technologies serta rakan-rakan lain.