SHAH ALAM – Tanda tanya mengenai keadaan seorang rakyat Malaysia yang gagal dihubungi ketika menyertai ekspedisi pendakian ke Annapurna susulan bencana banjir kilat buruk di Nepal akhirnya terjawab apabila lelaki berkenaan memaklumkan dirinya selamat.
Menerusi hantaran tular di Threads pada Khamis, lelaki yang menggunakan nama akaun ‘zlmifirl’ memaklumkan masalah capaian talian di kawasan kem induk atau ‘base camp’ menjadi punca dia sukar dihubungi.
Lelaki berkenaan turut berkongsi sekeping gambar terbaharu dirinya yang kelihatan dalam keadaan sihat.
Kakak lelaki itu pada Rabu meminta orang ramai mendoakan keselamatan adiknya itu selepas gagal menghubunginya ketika banjir melanda Nepal.
Menerusi hantaran di Threads, wanita tersebut yang menggunakan nama akaun ‘isfarrina’ berkata, adiknya menyertai ekspedisi pendakian ke Annapurna, namun dia tidak mengetahui agensi pelancongan yang mengendalikan perjalanan berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Najib, Muhyiddin, Ismail Sabri: Tiga bekas PM di mahkamah hari ini
Ismail Sabri tiba di Mahkamah Kuala Lumpur untuk hadapi pertuduhan
Ismail Sabri didakwa tidak isytihar RM14.7 juta, jutaan mata wang asing, 5 jongkong emas
Amat ‘pelik’ dakwa Ismail Sabri tidak isytihar harta- Peguam
Pendakwaan cadangkan Ismail Sabri dijamin setengah juta
Tiada siapa gembira apabila didakwa – Peguam Ismail Sabri
“Tapi alhamdulillah, saya dah hubungi kedutaan di sana dan nama dia memang tiada dalam senarai hilang, cuma sampai sekarang masih tak dapat dihubungi sebab di sana memang talian tengah bermasalah,” katanya pada Rabu.
Wanita itu turut berkongsi gambar adiknya ketika berada di kawasan pergunungan selain tangkap layar aplikasi penjejakan lokasi yang dipercayai menunjukkan kedudukan terakhir lelaki berkenaan.
Terdahulu, lebih 1,300 mangsa dilaporkan hilang manakala sekurang-kurangnya 165 maut susulan banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan sempadan Nepal-Tibet.
Agensi pengurusan bencana Nepal memaklumkan, 823 orang masih belum dapat dikesan termasuk sekurang-kurangnya 579 pelancong Nepal dan warga asing.
Wisma Putra pula mengesahkan angka rakyat Malaysia yang gagal dihubungi susulan banjir besar itu terus meningkat kepada 55 orang.
Jumlah berkenaan berdasarkan maklumat terkini yang diterima daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber lain berkaitan.