KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menggesa Wisma Putra mengambil segala tindakan sewajarnya berhubung rakyat Malaysia yang terjejas susulan kejadian banjir besar di Rasuwa, Nepal.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Khamis, Seri Paduka Baginda menitahkan supaya maklumat terkini mengenai keselamatan dan keberadaan mereka disalurkan kepada ahli keluarga masing-masing.
"Saya juga menggesa Wisma Putra mengambil segala tindakan yang sewajarnya termasuk dalam menyalurkan maklumat terkini kepada ahli keluarga masing-masing mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia yang terlibat,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim turut mendoakan agar segala usaha menyelamat dan membawa keluar rakyat Malaysia yang terjejas dapat dilaksanakan dengan lancar.
Menurut hantaran itu, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan rasa prihatin serta mendoakan keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat dalam bencana itu.
"Seri Paduka Baginda berdua menitipkan doa berharap semua mangsa berada dalam keadaan selamat serta dipermudahkan segala urusan sepanjang menghadapi situasi berkenaan,” menurut hantaran itu.
Wisma Putra dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan banjir besar yang melanda daerah Rasuwa, semalam.
Menurut Wisma Putra, angka itu diperoleh berdasarkan maklumat terbaharu daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber lain berkaitan.
Media antarabangsa melaporkan, angka korban akibat banjir yang melanda perkampungan dan laluan pendakian di kawasan sempadan Nepal-China itu meningkat kepada 162 orang, manakala ratusan lagi masih hilang.- Bernama