GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang akan memantau rapat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menjelang sambutan Hari Kebangsaan yang bakal diadakan di Padang Kota Lama, di sini pada 31 Ogos ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan sewajarnya akan dibuat sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk terutama jika bacaan IPU mencecah 200 dan ke atas.
“Bagaimanapun, masih ada beberapa hari lagi sebelum sambutan tersebut dan kita belum membuat sebarang keputusan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Khamis.
Menurutnya, perarakan Hari Kebangsaan peringkat Pulau Pinang tahun ini dijadualkan berlangsung di Padang Kota Lama dan sukar untuk dipindahkan ke lokasi tertutup.
“Perarakan kali ini di Padang Kota. Jadi, tidak mungkin ia dibawa ke dewan tertutup.
“Kalau dibawa ke stadium pun, ia masih dalam kawasan terbuka juga. Jadi, itu satu perkara yang perlu kita pertimbangkan,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya keadaan jerebu terus bertambah buruk dalam tempoh beberapa hari akan datang, kerajaan negeri perlu mengambil tindakan yang bersesuaian demi keselamatan semua pihak yang terlibat.
“Jika situasi terus menjadi lebih buruk, saya fikir keputusan yang sewajarnya perlu dibuat,” katanya.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet memaklumkan kerajaan akan meneliti semula skala dan lokasi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur termasuk Sarawak.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri selepas mengambil maklum perkembangan keadaan jerebu daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Kata Fahmi, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan mempengerusikan perbincangan bersama kementerian dan agensi berkaitan petang ini bagi menilai kesesuaian penganjuran sambutan berkenaan.