KUALA LUMPUR – Peguam kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pertuduhan tidak mengisytiharkan harta, termasuk wang tunai RM14.7 juta, jutaan mata wang asing serta lima jongkong emas yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu sebagai pelik dan janggal.
Mata wang asing terbabit terdiri daripada SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta, ¥363 juta, £50,250, NZD44,600, AED34.7 juta dan AUD$352,850.
Semasa prosiding, peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, pihak pendakwaan sebelum ini telah membuat permohonan pelucuthakan harta di bawah Seksyen 41 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Seksyen berkenaan memperuntukkan kuasa berkaitan pelucuthakan harta yang disita apabila tiada pendakwaan jenayah dilakukan.
“Ada perisytiharan oleh pihak pendakwaan sebelum ini yang mengesahkan bahawa, selepas kertas siasatan diteliti, tiada pendakwaan akan dijalankan ke atas Ismail Sabri.
“Bagaimanapun, sekarang atas sebab yang sangat pelik, kami dimaklumkan pendakwaan diteruskan walaupun kuasa di bawah Seksyen 41 Akta SPRM telah digunakan.
“Ini mewujudkan keadaan yang amat pelik dan unik,” katanya yang hadir bersama peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam, Ragunath Kesavan, Joshua Tay, Tan Xu Yin, Jason Anthony dan Ashwath Ramakrishnan.
Susulan itu, beliau berkata, pihak pembelaan akan meneliti pertuduhan berkenaan dan berhak mencabar kewajaran serta kesahihannya.
Pada Julai 2025, SPRM memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini untuk melucutkan hak hampir RM170 juta yang dirampas ketika siasatan.
Pada 1 Oktober 2025, Mahkamah Sesyen mengarahkan wang itu dilucutkan hak kepada kerajaan selepas tiada pihak ketiga tampil menuntut dana berkenaan dan tiada bantahan difailkan terhadap permohonan pelucuthakan tersebut.