LIVERPOOL semakin hampir mencapai persetujuan untuk mendapatkan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Bradley Barcola dengan nilai perpindahan yang boleh mencecah 115 juta pound (RM629.56 juta).
The Reds kini memburu tonggak baharu di bahagian sayap selepas kehilangan Mohamed Salah pada penghujung musim lalu dengan Barcola dikenal pasti sebagai calon utama mengisi kekosongan berkenaan.
PSG sebelum ini meletakkan tanda harga sekitar 145 juta pound (RM793.79 juta) untuk pemain berusia 23 tahun itu, namun rundingan terbaharu dilaporkan menyaksikan nilai perpindahan berpotensi turun kepada angka 115 juta pound.
Jika berjaya dimuktamadkan, Barcola akan menjadi pembelian kedua termahal dalam sejarah Liverpool, hanya di belakang Alexander Isak yang menyertai kelab itu dengan nilai 125 juta pound (RM684.30 juta).
Barcola mencuri perhatian selepas mempamerkan prestasi cemerlang bersama Perancis di Piala Dunia, termasuk menjaringkan tiga gol walaupun beberapa kali bermula dari bangku simpanan.
Pemain sayap itu turut memainkan peranan penting dalam kejayaan PSG mengekalkan dominasi Eropah apabila membantu kelab itu meraih gelaran Liga Juara-Juara buat kali kedua berturut-turut.
Bagaimanapun, Liverpool berdepan persaingan Arsenal yang turut berminat mendapatkan khidmat pemain tersebut bagi memperkukuhkan pilihan di bahagian serangan.
Perpindahan Barcola dijangka menjadi sebahagian daripada aktiviti perbelanjaan besar kelab Liga Perdana Inggeris pada penghujung jendela perpindahan musim panas ini.
Beberapa urus niaga bernilai lebih 100 juta pound sudah berlaku, termasuk perpindahan Elliot Anderson ke Manchester City dan Morgan Rogers ke Chelsea, manakala beberapa nama besar lain masih dikaitkan dengan perpindahan.
Jika semua rundingan berprofil tinggi berjaya diselesaikan, jumlah perbelanjaan kelab Liga Perdana dalam tempoh dua minggu terakhir jendela perpindahan berpotensi mencecah 1 bilion pound (RM5.47 bilion), termasuk laporan Nicolas Jackson hampir menyertai Aston Villa dengan nilai 65 juta pound (RM355.84 juta).