Juruelektrik bebas tuduhan tanam pokok ganja

Iklan
Keshvinder mengangkat tangan Aszizi (tengah) selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis.

IPOH - Seorang juruelektrik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas pertuduhan membenarkan tumbuhan jenis pokok kanabis (ganja) seberat 253.4 gram ditanam di sebuah bilik di rumahnya, tiga tahun lalu.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Aszizi Ayub, 39.

Iklan
Iklan

"Setelah meneliti keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa serta hujah daripada pihak pembelaan, mahkamah dengan ini mendapati pihak pendakwa gagal untuk membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

"Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan," katanya ketika menyampaikan keputusan penghakiman.

Iklan

Tertuduh diwakili peguam Keshvinder Singh, Sukhdave Singh dan Renver Singh, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Pavitra Satha Sivam.

Barisan peguam bersama Aszizi (tengah) selepas mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh pada Khamis.

Iklan

Mengikut pertuduhan, Aszizi didakwa membenarkan tumbuhan jenis pokok kanabis seberat 253.4 gram yang ditanam oleh individu lain dalam beg plastik hitam dan dibiarkan tumbuh di dalamnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 8.30 malam pada 31 Julai 2023 di sebuah rumah di Persiaran Wira Jaya Timur 36, Taman Dato Leow Yan Sip, Ipoh dalam daerah Kinta.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pokok disyaki kanabis setinggi kira-kira 70 sentimeter yang diletakkan di bawah lampu dan dilengkapi peralatan berkaitan penanaman ditemukan di dalam bilik di rumah berkenaan.

Turut dirampas ialah dua beg mengandungi tanah, pakaian serta lampu 'Meijiu' yang disambungkan kepada alat bekalan kuasa dan soket kawalan masa.

Kesemua barang kes dan kedua-dua suspek kemudian dibawa ke pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak untuk tindakan lanjut.