SELAYANG - Rakaman sekumpulan individu dipercayai warga Rohingya berkumpul di sebuah taman awam di Taman Wilayah, Selayang, tular di media sosial selepas dimuat naik pempengaruh, Awie MBR atau lebih dikenali sebagai Abang Koroy.
Video yang dikongsikan menerusi aplikasi Threads itu memaparkan lebih 30 individu berada di kawasan taman berkenaan pada satu-satu masa.
Sebahagian mereka dilihat bermain bola, manakala beberapa keluarga pula duduk berkelah dan anak-anak bermain di gelongsor serta kemudahan permainan yang disediakan.
Situasi itu mencetuskan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai penggunaan kemudahan awam berkenaan, khususnya apabila jumlah individu yang berkumpul di taman terbabit dilihat ramai.
“Kalau dah satu kampung, penduduk tempatan nak main mana?” demikian persoalan yang dibangkitkan menerusi hantaran berkenaan.
Perkongsian itu turut mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Antaranya, seorang pengguna Threads dengan nama akaun @abewee1 berkata, “Kasihan orang kita dan budak-budak tak boleh pakai kemudahan awam. Dah jadi macam tempat diaorang.”
Seorang lagi pengguna, @wanfa__, pula berkata, “Sini lah tempat waktu kecil-kecil bermain sekarang tengok puak diaorang saja macam kena jajah tempat sendiri.”
Hantaran berkenaan turut menerima ribuan tanda suka serta beberapa komen dan perkongsian semula daripada pengguna Threads.
Awie turut mendakwa kemudahan awam berkenaan semakin dikuasai kumpulan warga asing.
Sementara itu, video berkenaan hanya memaparkan keadaan di taman awam terbabit dan tidak memberikan maklumat lanjut mengenai status atau tujuan kehadiran individu berkenaan di lokasi itu.